Saturday, April 27, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Yonnyboii hadiahkan single buat isteri

    Sebagai lambang cinta pada isteri tersayang, penyanyi rap muda, Yonnyboii menghadiahkan single berjudul Niki.

    Karya ciptaan sepenuhnya komposer berbakat itu ditujukan kepada wanita yang dinikahi, Nik Nazira Narriman atau Nina pada tanggal 20 November lalu.

    Yonnyboii berkata, lagu berkenaan mengenai luahan cintanya terhadap isteri. Istimewanya, karya itu dihasilkan beberapa hari sebelum mereka mengikat tali pertunangan pada 9 Oktober, tahun lalu.

    Single Niki mengisahkan percintaan kami. Karya ini mengenai perasaan saya yang terlalu mencintai Nina dengan mendalam. Sehingga memberikan saya satu keyakinan baru dan membuatkan saya benar-benar rasa disayangi serta dihargai.

    “Karya ini dicipta beberapa hari sebelum kami bertunang, sambil membayangkan betapa indahnya hari perkahwinan pada saat duduk atas pelamin.

    “Sewaktu menulis karya itu, saya seperti tidak percaya kami bakal bertunang, sambil menghitung detik untuk disatukan. Saya merancang memainkan single Niki pada majlis resepsi nanti.

    Sebagai lambang cinta pada isteri tersayang, penyanyi rap muda, Yonnyboii menghadiahkan single berjudul Niki. – Agensi

    “Saya juga mahu ia didengari semua orang tidak kira di mana berada,” katanya kepada media.

    Ditanya apakah maksud Niki, Yonnyboii menjelaskan, dia mengenali isteri kira-kira setahun lalu dengan panggilan Niki. Mereka berkenalan menerusi permainan video dalam talian.

    Karya romantis itu dicipta sepenuhnya oleh Yonnyboii atau nama sebenarnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, manakala disusun oleh SeaTravel dan diterbitkan oleh Slack dan Yonnyboii sendiri.

    Sementara itu, klip video rasmi Niki akan dilancarkan pada 28 Januari ini konsep video disifatkan Yonnyboii agak luar biasa.

    “Konsep video muzik ini berbeza kerana membabitkan beberapa unsur saintifik. Walaupun saya berperanan sebagai bintang utama, tetapi ada seorang tetamu istimewa dipaparkan dalam video ini.

    “Proses untuk menyiapkan video muzik Niki mengambil masa yang agak lama. Kami terpaksa menunggu dari jam 11 pagi sehingga penggambaran bermula jam 5 petang.

    “Saya berterima kasih kepada Nina kerana menemani saya sepanjang penggambaran. Terima kasih juga kepada pengarah video muzik, Thaqif Saadon kerana banyak membantu saya ketika rakaman,” katanya.

    Terdahulu, Yonnyboii pernah berkongsi melancarkan album istimewa yang memuatkan lima lagu pada majlis resepsi. Lima lagu yang dimuatkan adalah karya baharu yang dicipta khas buat isteri.

    Pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 9 Oktober lalu pada mulanya merancang mengadakan majlis akad nikah pada hari itu. Namun, atas permintaan keluarga, mereka menyegerakan majlis pernikahan kepada 20 November lalu yang dirancang tiga hari sebelum majlis di Duchess Place, Ampang. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...