Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    20 belia sertai JENESYS 2022

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JAN – Seramai 20 perwakilan belia terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi dari beberapa institusi pengajian tinggi telah berlepas ke Tokyo, Jepun bagi menyertai JENESYS 2022 ASEAN Inbound Program of Japan-Brunei Exchange (Japanese Anime and Culture) yang akan diadakan selama lapan hari bermula 10 hingga 17 Januari.

    Rombongan diketuai oleh Penolong Penyelia Pusat Belia, Jabatan Belia dan Sukan, Awang Mohd Noramizul bin Haji Serbini.

    Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada perwakilan belia tersebut ialah Pemangku Timbalan Pengarah Belia dan Sukan, Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly.

    Di sepanjang program dijalankan, perwakilan belia tersebut akan berpeluang mengikuti beberapa aktiviti seperti menghadiri orientasi; mendengarkan syarahan mengenai kebudayaan dan kesenian Jepun; mengikuti bengkel yang berkaitan dengan tema program; mengadakan lawatan ke tempat-tempat bersejarah serta kunjungan hormat kepada kerajaan tempatan di Wilayah Chiba, Kamogawa; home visit kepada Japan host family dan sebagainya.

    JENESYS merupakan sebuah program pertukaran belia yang dianjur dan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Jepun sejak tahun 2007 untuk menjalinkan hubungan dua hala dan persahabatan, di samping mempromosi nilai-nilai budaya, adat resam dan memahami cara hidup masyarakat Jepun.

    Haji Mohamad Rosfazilah bergambar ramai bersama perwakilan belia di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei kelmarin.
    Awangku Muhd Nurfadhlee Luqman Al-Hakeem semasa ditemui pihak media.

    Program itu bertujuan menggalakkan kepercayaan dan persefahaman bersama dalam kalangan rakyat Jepun dan rantau Asia Pasifik dan juga membina asas persahabatan dan kerjasama pada masa depan.

    Salah seorang perwakilan belia yang menyertai program berkenaan, Awangku Muhd Nurfadhlee Luqman Al-Hakeem bin Pengiran Shaiful Rezal Malek Faesal ketika ditemui pihak media mengongsikan perasaan teruja dan kesyukurannya kerana terpilih bagi menyertai program tersebut.

    “Saya menjangkakan akan dapat mempelajari banyak perkara menerusi program ini dan akan memanfaatkan pengalaman mengenai kebudayaan Jepun dan pada masa yang sama turut memperkenalkan keunikan kebudayaan negara kita.

    “Saya berasa bangga dan tidak menyangka terpilih bagi menyertai program ini dan sudah semestinya saya akan menggunakan peluang yang berharga ini dengan sebaiknya.

    “Memandangkan bidang saya lebih cenderung kepada bidang muzik, saya berharap dapat meneroka lebih banyak mengenai budaya muzik di Jepun. Saya akan mengongsikan apa yang saya pelajari kepada orang ramai dan seterusnya menghasilkan suatu karya yang boleh menggabungkan budaya kedua-dua buah negara (Negara Brunei Darussalam dan Jepun),” jelasnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...