Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    200,000 berisiko hilang kerja akibat sekatan

    MOSCOW, 18 APRIL – Kira-kira 200,000 pekerja syarikat asing di Moscow berkemungkinan kehilangan pekerjaan akibat sekatan membabitkan kempen ketenteraan Rusia di Ukraine.

    Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin, hari ini berkata, berdasarkan anggaran mereka, kira-kira 200,000 orang berisiko kehilangan pekerjaan mereka.

    Katanya, minggu lalu pihak berkuasa meluluskan program AS$41 juta untuk membantu pekerja di ibu kota Rusia.

    “Pertama sekali, program ini disasarkan kepada pekerja syarikat asing yang menggantung sementara operasi mereka atau bertindak meninggalkan Rusia,” katanya.

    Ratusan syarikat terutamanya dari Barat mengumumkan penggantungan aktiviti mereka atau meninggalkan Rusia selepas Presiden Vladimir Putin menghantar pasukan tenteranya ke Ukraine pada 24 Februari lalu.

    Sobyanin berkata program yang baru diluluskan itu dijangka membantu lebih 58,000 orang yang kehilangan pekerjaan. “Kira-kira 12,500 akan menjalani latihan semula.

    “Mereka yang sedang menunggu pekerjaan akan ditawarkan untuk terbabit dalam kerja awam di beberapa organisasi di bandar, taman dan tempat lain,” katanya.

    Pakar ekonomi percaya bahawa kesan ekonomi terburuk akibat sekatan negara Barat yang melemahkan akan berterusan dan Rusia dijangka mengalami kemelesetan teruk. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...