Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    40 anak yatim terima sumbangan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 APRIL – Seramai 40 orang anak-anak yatim dan pelajar kurang berkemampuan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), kelmarin, menerima sumbangan derma pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran dan diteruskan dengan Penyampaian Derma kepada Anak-anak Yatim.

    Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, selaku tetamu kehormat majlis.

    Pada majlis itu, tazkirah khas bertajuk ‘Bertemankan Al-Quran Sepanjang Zaman: Perhatian Al-Quran Terhadap Iktikaf di Bulan Ramadan’ menyerikan lagi majlis yang disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Dr Hafini bin Mahmud.

    Dalam tazkirah beliau antara lain menyentuh mengenai tanggungjawab sebagai seorang Muslim untuk merebut peluang di penghujung Ramadan ini dengan meningkatkan lagi amal ibadah khususnya dalam pembacaan Al-Quran.

    Bukan setakat itu, pembacaan Al-Quran itu perlu dilakukan dengan penuh tadabbur supaya apa yang dilakukan selaras dengan kandungan ayat suci seperti mana perlaksanaan iktikaf di bulan Ramadan.

    “Allah telah memberikan petunjuk dan panduan dengan menganjurkan iktikaf di bulan Ramadan lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir bulan Ramadan,” jelasnya.

    Derma tersebut adalah hasil sumbangan daripada pegawai-pegawai dan kakitangan serta pensyarah termasuk pelajar UNISSA.

    Majlis Ihya tadarus khatam Al-Quran adalah kesinambungan daripada majlis tadarus Al-Quran yang berjalan sepanjang bulan Ramadan selepas sembahyang Fardu Zuhur melibatkan para pensyarah, pegawai dan kakitangan serta pelajar UNISSA. Ia bertujuan untuk memberi dorongan kepada warga UNISSA untuk melazimkan pembacaan Al-Quran dan mentadabburkan isi kandungan Al-Quran, di samping meraih ganjaran pahala di bulan ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Saintis China bina model 3D embrio manusia berusia 3 minggu

    BEIJING, 25 APRIL - Para saintis China membina semula model 3D embrio manusia dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas persenyawaan, yang membuka laluan...