Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Perkasa wanita demi kemajuan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Di Negara Brunei Darussalam, kepentingan peranan wanita dalam pembangunan sosioekonomi negara diiktiraf sepenuhnya dan diakui bahawa kesaksamaan hak dan pemerkasaan wanita, selain menjadi hak asasi manusia asas, adalah penting untuk kemajuan wanita.

    Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin berkata, negara terus komited terhadap pembangunan semua sektor seperti yang terkandung dalam Wawasan Brunei 2035, ke arah rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, peningkatan kualiti hidup dan ekonomi yang dinamik dan mampan.

    Menurut statistik terkini, lebih 55 peratus wanita yang berumur 15 hingga 65 tahun terdiri sebagai tenaga kerja yang menyumbang ke arah pembangunan negara.

    Mereka berkhidmat dalam pelbagai kapasiti di sektor awam hingga ke pangkat dan kedudukan yang tinggi, dan di sektor swasta sehingga mencapai peringkat tertinggi di sektor-sektor penting seperti kewangan, telekomunikasi, pembinaan dan juga infokomunikasi dan teknologi. Ini termasuklah bidang yang secara tradisional diceburi oleh lelaki seperti anggota keselamatan.

    Yang Berhormat Dato menekankan perkara itu dalam perutusannya sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang diraikan di seluruh dunia pada 8 Mac, untuk meraikan pencapaian semua para wanita dalam aspek sosial, ekonomi, budaya dan politik.

    Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan berkata amat penting untuk negara terus memperkasakan kaum wanita dan memberi peluang mereka membuat keputusan dalam hal perubahan iklim untuk pembangunan mapan.

    Tema sambutan yang disarankan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi tahun ini ialah ‘Kesaksamaan Jantina Hari Ini Untuk Masa Depan yang Mampan’.

    Yang Berhormat Dato berkata, menurut PBB , isu perubahan iklim dan kemapanan telah dan akan terus meninggalkan kesan yang signifikan dan berkekalan terhadap alam sekitar khususnya, dan kepada pembangunan ekonomi dan sosial secara amnya. Ia juga meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada mereka yang tergolong daripada golongan rentan dan terpinggir.

    Ini termasuk kaum wanita, yang semakin diiktiraf sebagai golongan yang lebih terdedah kepada kesan perubahan iklim, terutamanya di majoriti negara membangun dan kawasan luar bandar di mana wanita lebih bergantung pada sumber semula jadi yang terancam oleh perubahan iklim.

    Oleh yang demikian, amat dibanggakan bahawa kaum wanita dan gadis telah dan terus berperanan selaku pemimpin dan pencetus perubahan yang berkesan yang menerajui usaha untuk menangani kesan-kesan perubahan dan pengurangan iklim.

    Mereka telah terlibat dalam membuat dan memberikan inisiatif kemapanan di seluruh dunia dalam mana, penyertaan dan kepimpinan mereka telah menghasilkan tindakan iklim yang sangat berkesan.

    Oleh itu, amatlah penting bagi kita untuk terus memperkasakan kaum wanita dan gadis untuk mempunyai suara dan peluang untuk membuat keputusan dalam hal perubahan iklim untuk membangun kemapanan.

    Yang Berhormat Dato mengongsikan bahawa Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) merancang untuk mengadakan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa buat kali ke-9 pada tahun ini dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan seperti Majlis Wanita, Majlis Belia Brunei (MBB) dan women advocates.

    Beberapa acara yang dirancang pada tahun ini adalah dengan hasrat untuk memberikan platform kepada kaum wanita untuk mengongsikan pendapat-pendapat serta membincangkan isu-isu yang berkepentingan bagi kaum wanita di Negara Brunei Darussalam.

    Semua ini akan disalurkan kepada satu kajian pembangunan wanita bagi Negara Brunei Darussalam yang akan bermula tahun ini, sebagai usaha bagi mengukuhkan Pelan Tindakan Wanita, di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS), tambah beliau.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    6 maut dalam kebakaran restoran, hotel

    PATNA, 26 APRIL — Kebakaran besar yang melanda sebuah restoran dan hotel di timur India kelmarin membunuh sekurang-kurangnya enam orang dan mencederakan 20 orang,...