Sunday, May 19, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    85 pelajar sertai Hari Hijau Sekolah

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Seramai 85 orang pelajar dari lapan buah sekolah dan institusi di negara ini menyertai program Hari Hijau Sekolah yang ditaja oleh Deloitte Brunei dan dikendalikan oleh Curious Mind untuk mempelajari punca, kesan dan penyelesaian kepada perubahan iklim dan amalan kemampanan, di Sekolah St Andrew, di ibu negara, baru-baru ini.

    Peserta program termasuk pelajar-pelajar dari Sekolah St Andrew, Sekolah St George, Sekolah Menengah Jamalul Alam (SMJA), Sekolah Menengah Chung Hwa (CHMS), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Teknologi Brunei (UTB), Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), dan Maktab Duli Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah.

    Hari Hijau Sekolah ialah program yang diatur oleh Curious Mind dengan kerjasama komuniti perniagaan di Brunei untuk membawa kesedaran ke arah penyelesaian iklim.

    Hari Hijau Sekolah di Sekolah St Andrew mendidik pelajar tentang asas perubahan iklim dengan menunjukkan faktor utama yang menyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau, supaya pelajar dilengkapi dengan pengetahuan untuk menangani masalah secara berstruktur.

    Para pelajar dipecahkan kepada beberapa kumpulan untuk bertukar fikiran tentang cara hidup lebih mampan di sekolah, masyarakat dan rumah mereka.

    Para pelajar mengambil bahagian dalam aktiviti yang disediakan semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN CURIOUS MIND
    Shaun Hoon dan Yasmin Jones serta pelajar-pelajar bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN CURIOUS MIND

    Program itu juga menekankan keperluan mendesak untuk pelajar mengamalkan penggunaan yang bertanggungjawab, dengan Brunei berada di kedudukan nombor dua sebagai negara sisa per kapita tertinggi di ASEAN.

    Para pelajar juga menyertai aktiviti bengkel praktikal yang memfokuskan kepada kitar semula dan penggunaan semula bahan plastik terpakai dan belajar tentang bagaimana bahan buangan boleh memberikan kesan negatif kepada alam sekitar.

    Hari Hijau Sekolah ialah program oleh Curious Mind yang dikendalikan oleh Shaun Hoon bersama Yasmin Jones, yang memiliki ijazah sarjana dalam perubahan iklim dan kelestarian daripada Monash, diperakui dan disokong oleh Sekretariat Perubahan Iklim Brunei, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) dan Kementerian Pendidikan.

    Sebagai sebahagian daripada program Iklim Dunia, Deloitte komited untuk memacu pilihan iklim yang bertanggungjawab dalam firma dan seterusnya, serta bagi membantu membina dunia yang lebih mampan.

    Firma tersebut komited untuk melakukan bahagiannya bagi membantu dunia mencapai matlamat Perjanjian Iklim Paris dan mengekal-kan planet ini dalam peningkatan suhu 1.5 darjah Celsius.

    Deloitte juga komited untuk menetapkan sasaran pengurangan pelepasan jangka panjang bagimengurangkan pelepasan GHG menjelang 2030.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...