Wednesday, November 6, 2024
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    9 pelajar terima biasiswa SEED

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Sembilan pelajar Brunei berjaya menjadi penerima pertama Biasiswa Kanada-ASEAN dan Program Pertukaran Pendidikan untuk Pembangunan (SEED) kerajaan Kanada untuk belajar di Kanada pada tahun akademik ini.

    SEED menawarkan pelajar dari negara anggota ASEAN, termasuk Brunei, peluang jangka pendek untuk belajar atau menjalankan penyelidikan di institusi pasca menengah Kanada pada peringkat kolej, sarjana dan siswazah. 

    Biasiswa dan pertukaran pendidikan berkenaan bermatlamat menyumbang ke arah pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan. Pada tahun ini, seramai 154 pelajar dari ASEAN telah ditawarkan biasiswa bagi sesi 2022 – 2023.

    Kesemua sembilan pelajar berkenaan adalah dari Universiti Teknologi Brunei (UTB). Tujuh daripada penerima biasiswa akan belajar dalam bidang kejuruteraan, pengurusan teknologi, pengkomputeran, komputer dan keselamatan maklumat dalam keselamatan rangkaian komputer, kewangan dan pengurusan risiko di Memorial University of Newfoundland. 

    Dua lagi pelajar akan mengikuti jurusan PhD mereka di Universiti Alberta dan Universiti Brock.

    Gambar ramai penerima biasiswa bersama naib canselor UTB dan PYT Jeanette Stovel. – Gambar serahan Pesuruhjaya Tinggi Kanada

    Pelajar berkenaan ialah Awang Mohammad Umair Wafri @Mohammad Lliya bin Noor Ahsffian; Awang Muhammad Syafi bin Muhammad ‘Azmin; Dayangku Nur Badzlina Amanina Puteri binti Pengiran Mohd Caesar; Izeyaan binti Idham Khalid; Awang Muhammad Muizzuddin bin Mahdi; Awang Khairul Danial Ikhwan bin Abdul Ahad; Awang Muhammad Azizi bin Haji Ariffin; Awangku Syazwan bin Pengiran Sulaiman dan Dayang Auji Haziqah binti Haji Mustapa.

    Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Negara Brunei Darussalam Puan Yang Terutama Jeanette Stovel berkata, “Saya sangat gembira melihat ramai pelajar Brunei menerima biasiswa SEED pada tahun ini! 

    “Saya pasti bahawa awda semua akan meluangkan masa yang menyeronokkan di Kanada dan saya harap awda akan mengambil masa meneroka negara kami yang luas dan pelbagai ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua UTB dan Universiti Brunei Darussalam atas usaha mereka untuk memohon program SEED sejak ia dimulakan,” kata beliau.

    Sejak program ini dilancarkan pada tahun 2017, terdapat seorang pelajar dari Brunei yang telah diterima menyertai program SEED. Malangnya, disebabkan wabak COVID, pelajar tersebut tidak dapat pergi ke Kanada.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda