Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    92 terima sijil tamat pengajian

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan Kementerian Pendidikan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Seramai 92 orang pelajar telah berjaya menamatkan pengajian Program Pra-Vokasional bagi sesi 2018-2022 dan menerima sijil masing-masing pada majlis yang berlangsung di Mahkota Hall, Times Square, hari ini.

    Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah bagi pertandingan menterjemahkan kod Braille di mana hadir untuk menyempurnakan penyampaian sijil kepada peserta program dan hadiah ialah Pemangku Ketua, Jabatan Pendidikan Khas (JPKhas), Kementerian Pendidikan, Awang Eddy Fazlin bin Haji Amdan.

    Turut hadir ialah ketua-ketua jabatan, ketua-ketua kluster dan pegawai-pegawai di Kementerian Pendidikan serta ibu bapa pelajar Program Pra-Vokasional.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Awang Eddy Fazlin bagi pihak JPKhas menyampaikan penghargaan atas sokongan, kerjasama dan komitmen berterusan daripada agensi kerajaan, syarikat swasta dan persendirian yang telah memberikan peluang penempatan latihan kerja kepada pelajar-pelajar semasa mereka berada pada Tahun 10 dan 11.

    Beliau berharap kerjasama itu akan kekal berterusan dan semakin banyak lagi agensi dan syarikat tampil ke hadapan dalam memberikan kepercayaan serta peluang latihan penempatan dalam usaha meningkatkan jumlah pelajar lepasan program mendapat pekerjaan dan berdaya tahan yang kini adalah di tahap rendah, khususnya bagi pelajar Priority Level 3 (PL3).

    Awang Eddy Fazlin menyatakan, antara inisiatif JPKhas untuk memperkasakan Program Pra-Vokasional ialah menyemak semula perisian kurikulum Program Pra-Vokasional selaras dengan kurikulum antarabangsa dan Brunei Darussalam Qualification Framework (BDQF) dan ia akan diterbitkan dalam sedikit masa lagi.

    Majlis kemudian menyaksikan Awang Eddy Fazlin menyempurnakan penyampaian sijil kepada pelajar yang telah menamatkan Program Pra-Vokasional, sijil penghargaan kepada enam orang guru pendidikan khas yang bersara, sijil penghargaan serta cenderahati kepada 11 buah syarikat yang terlibat dalam penempatan kerja pelajar-pelajar yang mengikuti Program Pra-Vokasional.

    Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan menterjemah kod Braille.

    Pertandingan telah dianjurkan bersempena Hari Braille Sedunia yang disambut pada 4 Januari lalu di mana salah satu objektif pertandingan ialah untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan mengenai makna simbol kod Braille kepada para pelajar dan guru serta kepentingannya sebagai sumber pembelajaran saluran komunikasi bagi pelajar tiada penglihatan dan penglihatan terhad. Ia dibukakan kepada pelajar-pelajar aliran biasa peringkat rendah atas, menengah bawah dan guru-guru. Seramai 31 orang peserta telah menyertai pertandingan berkenaan iaitu tujuh orang pelajar peringkat rendah atas, lapan orang pelajar peringkat menengah bawah dan 16 orang guru.

    Awang Eddy Fazlin menyaksikan pameran hasil kerja tangan pelajar pra-vokasional.
    Awang Eddy Fazlin menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Saintis China bina model 3D embrio manusia berusia 3 minggu

    BEIJING, 25 APRIL - Para saintis China membina semula model 3D embrio manusia dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas persenyawaan, yang membuka laluan...