Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Adat perkahwinan kaum Pomak unik

    RIBNOVO, BULGARIA – Perkahwinan Nefie Eminkova, 21, dan tunangnya Schaban Kiselov, 24 merupakan upacara ekstravaganza yang penuh berwarna-warni, pesta dan tarian.
    Namun pengantin perempuan, yang berasal dari kaum minoriti Pomak, Bulgaria, tidak dapat meraikannya. Matanya mesti ditutup sehingga seorang imam memberkati pasangan itu.

    Pasangan itu mengamalkan upacara perkahwinan musim sejuk tradisional yang terpaksa ditinggalkan oleh komuniti mereka dari selatan gunung Rhodope semasa pemerintahan komunis tetapi telah berpulih sejak kejatuhan rejim pada 1989.

    Upacara itu berlangsung dua hari, bermula dengan persembahan hantaran kahwin pengantin perempuan.

    Ia terdiri daripada ‘segala yang dapat awda fikirkan’ yang mungkin diperlukan oleh keluarga baharu itu, jelas Nefie.

    Sarung kaki jahitan tangan, selimut anak damit dan cadar digantung di luar tingkap di jalan, bersebelahan dengan katil kelamin yang ditempah khas serta set televisyen.

    Nefie Eminkova dan tunangnya Schaban Kiselov bergambar semasa upacara perkahwinan mereka di kampung Ribnovo. – AFP
    Wajah Nefie sebelum (atas) dan selepas majlis perkahwinannya di kampungnya di Ribnovo, Bulgaria. -AFP

    Pengantin perempuan Nefie Eminkova menjalani ‘gelina’, wajah dilukis sebelum majlis perkahwinannya di kampung Ribnovo. – AFP

    Acara kemuncak perkahwinan adalah pada akhir hari kedua dengan acara ‘gelina’ – melukis wajah pengantin. Tidak dibenarkan dilihat lelaki, dua saudara wanita yang lebih tua melukis muka Nefie dengan lapisan cat putih dan seterusnya menghiasinya dengan labuci beraneka warna.

    Mereka menutup rambutnya dengan skarf merah dan membingkaikan lukisan wajahnya dengan kalungan bunga sutera dan jurai berkilat, menjadikannya tidak dapat dikenali.

    Kemudian dia diperkenalkan kepada bakal suaminya dalam pakaian tradisional, seluar longgar merah tua, apron berwarna-warni dan anak baju serta jari yang dicat inai amat berbeza dengan pakaian ringkas seluar jeans dan blazer hitam yang dipakai pengantin lelaki.

    Nefie memegang cermin tangan dan curi-curi menatap wajahnya. Dia hanya dibenarkan membuka matanya selepas imam memberkati pasangan baharu itu dan suaminya mencuci mukanya dengan susu di rumah baharu mereka.

    Makanan dan tarian mengikut rentak muzik daripada zurna dan gendang memastikan kemeriahan majlis perkahwinan tetapi minuman alkohol tidak dibenarkan.

    “Itulah caranya penduduk di sini berkahwin dan kami juga suka mengadakannya dalam tradisi ini,” beritahu Nefie kepada AFP sebelum upacara melukis muka ‘gelina’.

    Nefie dan Schaban akan meninggalkan Ribnovo, kampung pergunungan yang mempunyai kira-kira 3,000 penghuni, pada musim bunga ke Jerman, di mana lelaki itu mempunyai perniagaan membuat lantai. Seperti kebanyakan warga Bulgaria lain, dia terpaksa meninggalkan kampung halaman dalam usaha mencari kerja dan pendapatan lebih baik dan hanya kembali seketika untuk majlis perkahwinan itu.

    “Ibu bapa saya tidak berpeluang mengadakan perkahwinan seperti itu dan saya memutuskan untuk melakukannya dalam tradisi lama untuk menggembirakan mereka, mereka lebih gembira daripada kami sebenarnya,” kata Schaban.

    Kaum Pomak – penduduk Slav yang memeluk Islam semasa pemerintahan Ottoman – amat tertindas dan dipaksa meninggalkan pakaian berwarna-warni mereka serta upacara perkahwinan dan khatam pada tahun 1970.

    Terdapat kira-kira 200,000 Pomak yang tinggal di Bulgaria hari ini tetapi hanya Ribnovo dan sebuah kampung pergunungan selatan yang mengekalkan upacara perkahwinan lama itu. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...