BERLIN, 1 MAC – Syarikat gergasi media Jerman, Axel Springer mengingatkan semalam bahawa wartawan berdepan risiko disingkirkan oleh teknologi kecerdasan buatan.
“Kecerdasan buatan (AI) berpotensi menjadikan kewartawanan bebas lebih baik atau menggantinya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Axel Springer, Mathias Doepfner dalam sepucuk surat kepada pekerja yang dilihat oleh AFP.
Komputer yang menggunakan AI tidak lama lagi akan menjadi lebih baik dalam ‘mengumpul maklumat’ berbanding wartawan manusia, ramal Doepfner.
Beliau berkata saluran media mesti menumpu pada penghasilan berita eksklusif atau komentar dan rencana eksklusif sekiranya mereka ingin bertahan.
Kewartawanan siasatan, rencana personaliti serta liputan berita hiburan akan menjadi ‘semakin penting’ untuk perniagaan media, kata Doepfner.
Keupayaan menilai atau menelah ‘motif sebenar’ peristiwa akan kekal menjadi tugas untuk wartawan.
Alat AI seperti ChatGPT yang dibangunkan Microsoft dijangka akan mencetuskan ‘revolusi’ dalam maklumat, kata beliau.
Matlamat Axel Springer akan menjadi ‘digital sepenuhnya,’ kata Doepfner, menambah peralihan itu akan ‘mengambil masa beberapa tahun lagi.’
Kira-kira 85 peratus daripada pendapatan dan 95 peratus daripada keuntungan syarikat datang daripada aktiviti digital,” katanya. – AFP
