LOS ANGELES, 16 SEPT – Alaska sedang bersedia hari ini untuk menghadapi ribut paling teruk di negeri Amerika Syarikat (AS) dalam lebih satu dekad, ketika saki-baki Taufan Merbok melanda Laut Bering, mengancam membawa banjir besar dan angin kencang hurikan.
Penduduk di pantai barat Alaska digesa supaya bersiap sedia berdepan ‘banjir pantai paling teruk dalam 50 tahun,’ Perkhidmatan Cuaca Negara (NWS) memberi amaran di Twitter semalam.
Merbok, kini ribut tropika, dijangka melanda negeri utara AS hari ini, ‘membawa ombak setinggi 14 meter, angin dengan kelajuan 140 kilometer sejam dan banjir di pantai yang akan melebihi paras 12 kaki pada hujung minggu ini, kata NWS.
Pihak berkuasa berkata kerosakan akibat ribut berkenaan mungkin melebihi Ribut Besar Laut Bering, yang melanda negeri dengan banjir dan bekalan elektrik terputus pada 2011.
“Ia mungkin menjadi ribut paling kuat dalam tempoh lebih satu dekad, dengan kesan mungkin lebih teruk daripada kerosakan yang kami lihat pada Ribut Besar Laut Bering pada 2011,” beritahu Jonathan Chriest, pakar meteorologi dengan perkhidmatan cuaca di bandar kedua terbesar Alaska Fairbanks, kepada CNN.
Rick Thoman, pakar cuaca di Universiti Alaska, Fairbanks, mengingatkan di Twitter mengenai ‘senario banjir amat teruk di kawasan pantai.’ – AFP
