Saturday, April 27, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Amalan kitar semula di M’sia masih rendah

    KUALA LUMPUR – Selepas hampir tiga dekad kempen kitar semula dicanang di negara ini dalam usaha memastikan 40 peratus sisa buangan dapat digunakan semula pada 2025, ternyata sambutan masyarakat terhadap inisiatif itu masih rendah.

    Statistik Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) menunjukkan pada tahun lepas, negara hanya merekodkan kadar kitar semula pada 31.52 peratus sedangkan kebanyakan negara maju mencatatkan sekurang-kurangnya 60 peratus. 

    Lebih merugikan, angka itu turut bermakna Malaysia kehilangan kira-kira RM476 juta setahun dalam konteks pendapatan negara kerana sumber kitar semula adalah satu industri bernilai tinggi.

    Menurut JPSPN, bahan kertas merupakan sisa terbuang paling banyak di tapak pelupusan, iaitu kira-kira 17 peratus yang boleh menyumbang sekitar RM205 juta kepada pendapatan negara.

    Bahan kitar semula kedua terbesar yang “dibazirkan” di tapak pelupusan sampah adalah plastik, iaitu sekitar sembilan peratus dengan potensi pendapatan RM163 juta.

    Kakitangan SWCorp menimbang bahan kitar semula dijual penduduk pada program ‘Trash to Cash’ di Taman Rekreasi Datuk Wira Poh Ah Tiam, Machap Baru, Melaka baru-baru ini. – Bernama
    Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) di Kangar merupakan alternatif baharu bagi membudayakan kitar semula dalam kalangan masyarakat di Malaysia yang masih rendah kesedaran mengenainya. – Bernama
    Projek kitar semula kreatif dianjurkan pihak berkuasa tempatan Majlis Bandar raya Pulau Pinang di Pasar Kampung Baru Air Itam, Jalan Air Itam Pulau Pinang menunjukkan bahan kitar semula dijadikan bahan pameran menarik. – Bernama

    Membimbangkan

    Pakar melihat senario itu – kadar pembuangan sampah di tapak pelupusan dan kegagalan mengitar semula sisa buangan – sebagai sesuatu yang membimbangkan dan perlu diberi perhatian serius agar masalah berkenaan tidak memburukkan lagi isu pengurusan sisa pepejal di negara ini.

    “Isu ini membimbangkan kerana populasi negara semakin meningkat dengan data terkini menunjukkan pertumbuhan populasi dianggar 2.4 peratus atau 600,000 orang setahun, bermakna lebih banyak sampah akan dihasilkan.

    “Keadaan ini akan memburukkan lagi situasi sedia ada. Apatah lagi data terbaharu menganggarkan sebanyak 14 juta tan sampah setahun akan dikutip sepanjang 2022 atau hampir 40,000 tan sehari dengan anggaran 95 peratus daripada sisa pepejal yang dikutip dilupuskan di tapak pelupusan,” kata Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman kepada Bernama. 

    Laporan media mengenai Data Penjanaan Kutipan Sampah jelas menunjukkan berlaku peningkatan ketara penghasilan sisa oleh penduduk negara ini dalam tempoh lima tahun lalu, iaitu pada 2018 sebanyak 36,843 tan sampah dihasilkan sehari, manakala pada 2019 meningkat kepada 37,462  tan yang bertambah kepada 38,081 tan pada 2020.

    Sementara itu pada tahun lepas, sebanyak 38,699 tan sampah harian dikutip dan untuk tahun ini, dianggar 39,936 tan sampah dihasilkan setiap hari. 

    Menurut Haliza, tambah memburukkan keadaan ialah peningkatan besar sisa perubatan, iaitu pelitup muka dan kit ujian kendiri COVID-19 yang menjadi sampah “baharu” kerana tidak lagi dilupuskan sebagai sisa buangan klinikal, sebaliknya hanya sebagai sampah domestik.

    Sukar capai sasaran 

    Katanya melihat pada situasi semasa, beliau berpandangan sukar bagi negara mencapai sasaran 40 peratus kadar kitar semula dalam tempoh tiga tahun lagi.

    Ini kerana kata beliau, berdasarkan trend masyarakat dalam membudayakan kitar semula dan disokong oleh kajian yang dilakukannya, tempoh tiga tahun yang berbaki itu tidak cukup untuk negara mencapai sasaran tersebut sekiranya tiada langkah progresif dan komitmen daripada semua pihak.  

    “Kalau kita lihat kembali trend kitar semula masyarakat negara ini, didapati perkembangannya agak perlahan. Contohnya, untuk mencapai 31.52 peratus kadar kitar semula negara pada tahun lepas sahaja mengambil masa 21 tahun selepas kempen dilancarkan kembali pada 2000.

    Ada kesedaran, tiada komitmen 

    Bagi mengukur tahap kesedaran masyarakat khususnya belia dalam aspek penjagaan alam sekitar, kerajaan menjalankan kajian “Kesedaran Belia Dalam Penjagaan Alam sekitar” yang bermula pada April 2018 dan dijadualkan selesai pada akhir bulan ini, melibatkan 384 responden dalam kalangan belia berusia 15 hingga 30 tahun di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

    Dapatan awal kajian menunjukkan tahap kesedaran tentang kepentingan pengurangan sisa ke tapak dan impaknya terhadap penjagaan kelestarian alam adalah tinggi dengan 94.5 peratus responden faham mengenai isu itu.

    Namun 40 peratus responden memberikan alasan kekangan masa dan kesibukan sebagai faktor utama mereka tidak mengitar semula sisa yang boleh dijana semula. 

    Hal ini bukan sahaja satu pembaziran komoditi yang berpotensi menyumbang kepada ekonomi negara tetapi juga meningkatkan kos pengurusan sampah.

    Menurut Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), kerajaan membelanjakan RM1.9 bilion setahun bagi kos pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam sejak 2015.

    Akta ‘sendu’?

    Haliza yang juga Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) UPM, berkata antara kesan terhadap alam sekitar sekiranya sisa pepejal tidak diuruskan dengan lebih baik ialah penghasilan lebih banyak gas rumah hijau.

    Ini seterusnya menyumbang kepada pemanasan global dan perubahan iklim yang mendorong kepada cuaca ekstrem seperti hujan lebat dan kejadian ribut.

    Sehubungan itu kata Haliza, impak pengurusan sisa pepejal yang tidak lestari ini tidak boleh dipandang remeh, sama ada oleh kerajaan mahupun masyarakat, kerana kegagalan berbuat demikian sudah pasti mengundang malapetaka dan kesan buruk terhadap keselamatan serta kesihatan awam dan alam sekitar.

    Mengulas lanjut, Haliza turut mempersoalkan keberkesanan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang dilihat beliau semakin “sendu” kebelakangan ini. 

    Akta itu yang dikuatkuasakan bermula 1 Sept 2015, mewajibkan pengasingan sisa di peringkat awal dengan setiap isi rumah serta pemilik perniagaan mengasingkan sisa di rumah dan di premis masing-masing.

    Namun selepas hampir tujuh tahun pelaksanaannya, Haliza berkata akta itu tidak begitu membantu meningkatkan kadar peratusan kitar semula, malah ada yang mula ‘lupa’ mengenai akta tersebut apabila kempen berkaitan dengannya tidak lagi ‘semeriah’ sewaktu akta diperkenalkan. 

    Penguatkuasaan longgar

    Beliau berkata antara faktor utama Akta 672 dilihat kurang berkesan ialah penguatkuasaan yang masih longgar, iaitu sampah domestik tetap dikutip walaupun sebahagian masyarakat gagal mengasingkan sampah mereka.

    Denda yang rendah juga dilihat menyumbang kepada “kegagalan” Akta 672.

    “Di bawah akta ini, denda kompaun maksimum hingga RM1,000 boleh dikenakan berdasarkan kepada jenis premis jika penghuni ingkar mengasingkan sisa pepejal.

    “Namun jika rakyat Malaysia mempunyai pengetahuan, amalan dan sikap yang positif terhadap alam sekitar, terutama berkaitan penjanaan dan pengurusan sisa pepejal, bentuk hukuman seperti denda, sama ada tinggi atau rendah,  tidak menjadi isu besar. Kepatuhan kendiri bergantung pada individu, bukan jumlah denda yang dikenakan,” katanya.

    Giatkan pendidikan 

    Sekalipun tempoh yang berbaki hanya tiga tahun untuk negara mencapai sasaran 40 peratus kitar semula, masih ada ruang bagi pihak berwajib meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu alam sekitar menerusi amalan 3R (reuse, recycle and reduce – guna semula, kitar semula dan kurangkan pembuangan sisa), terutama dalam kalangan generasi muda. 

    Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial, UPM Prof Dr Ismi Arif Ismail mencadangkan agar program pendidikan kitar semula dan pengasingan sisa pe-pejal serta 3R  diperkasakan di peringkat sekolah serta lokaliti seperti melalui aktiviti persatuan penduduk.

    Tambahnya, ibu bapa dan golongan dewasa seharusnya menunjukkan teladan yang menyokong amalan ini terlebih dahulu agar boleh dicontohi oleh golongan muda dan kanak-kanak. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...