Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Anak patung jadi lambang kebanggaan, identiti orang asli

    RIO DE JANEIRO – Memiliki anak patung atau permainan memang sudah menjadi lumrah bagi kanak-kanak.

    Namun, ada sesetengah daripada orang dewasa juga ingin memilikinya kerana ia mengingatkan mereka waktu kecil ataupun disebabkan sejarah di sebaliknya.

    Begitulah bermulanya kisah Luakam Anambe yang ingin memberikan cucu perempuannya anak patung kerana ia adalah sesuatu yang tidak pernah dimilikinya sewaktu kecil, tetapi dia mahu patung tersebut mempunyai ciri-ciri orang asli, yang tidak terdapat di mana-mana kedai.

    Jadi dia mula membuat patung tersebut daripada kain dan pemadat.

    Anak patung tersebut berwarna coklat, mempunyai rambut yang panjang dan gelap, serta memiliki cat muka dan badan yang sama seperti kaum Anambe.

    Patung yang dihiasi dengan lukisan pada muka dan badan yang melambangkan pelbagai kaum orang asli dipamerkan atas meja bengkel jahit di Rio de Janeiro, Brazil. – AP

    Atyna Pora semasa memotong rambut patung yang menampilkan ciri-ciri orang asli. – AP

    Luakam Anambe adalah salah seorang daripada kaum orang asli Anambe, merupakan pengusaha utama yang membuat patung orang asli di Rio de Janeiro, Brazil. – AP

    Walaupun patung orang asli boleh ditemui di tempat lain di Amerika Latin tetapi tidak biasanya ditemui di Brazil, sebuah negara yang mempunyai hampir 900,000 orang asli mengikut banci terkini.

    Rumahnya yang sederhana kini telah berfungsi sebagai bengkel di mana dia dan anak perempuannya membuat anak patung untuk pelanggan yang semakin meningkat.

    “Sebelum ini, hanya anak patung putih yang ada, kemudian anak patung hitam, tetapi anak patung orang asli belum ada,” kata Anambe, 53, yang memakai rantai manik dan hiasan kepala bulu jingga yang cantik.

    “Kadang-kadang, wanita orang asli menangis apabila mereka melihat anak patung itu,” tambahnya.

    Anambe telah menjual lebih 5,000 anak patung di pameran tempatan dan menerusi media sosial sejak 2013, menghantarnya ke seluruh negara, dan kini sedang mengumpul dana untuk melawat pameran Jerman dengan matlamat untuk mengeksport ke Eropah.

    Perniagaannya yang berkembang maju di Rio de Janeiro adalah dunia yang jauh dari negeri Para di Amazon, tempat kehidupannya yang sukar bermula.

    Sementara itu, Anambe mengongsikan kehidupannya bahawa dia adalah salah seorang daripada 15 orang adik-beradik, dan ibu bapanya menghantarnya dan dua adik perempuannya bekerja serta tinggal di ladang.

    Dia baru berusia tujuh tahun ketika ditugaskan menjaga anak kecil pemilik ladang berkenaan dan mengimbau kembali pada masa lalu itu bahawa dia pernah dihukum kerana meminta anak patung kepada isteri pemilik ladang apabila mereka hanya mengharapkan dia untuk bekerja sahaja. Pelbagai peristiwa yang berlaku pada masa kecilnya sehingga remaja.

    “Kami adalah pejuang, berjuang untuk terus hidup,” katanya, merujuk kepada orang asli yang kerap diancam oleh beberapa kumpulan penindas. “Terdapat berjuta-juta orang asli di Brazil sebelum penjajahan tetapi hingga kini jumlah tersebut semakin berkurangan.”

    Anambe bekerja sebagai wanita pembersih di Belem, ibu negeri Para, selama bertahun-tahun. Bagaimanapun, dia percaya bahawa akan lebih ada banyak masa di kehidupannya itu dan harus mencari peluang di salah sebuah bandar terbesar di Brazil. Dia melakukan perjalanan selama lapan hari ke Rio dengan seorang pemandu lori, yang dia bersyukur kerana dia tidak menderanya.

    Walau bagaimanapun, ciri-ciri orang aslinya menonjol di Rio, dan orang ramai berprasangka terhadapnya. Akhirnya, dia mendapat pekerjaan di kilang bikini dan dapat menghantar anak perempuannya, yang mana ketika itu dia berumur 20an.

    Sedikit demi sedikit, mereka menyimpan wang yang cukup untuk berpindah dari pondok satu bilik ke rumah kecil, tempat dia mula membuat pakaian untuk beberapa jenama Rio. Dengan kemahiran menjahit yang dikembangkannya, dia membuat anak patung pertamanya.

    “Ia seperti cermin,” kata anak perempuannya, Atyna Por, yang kini bekerja bersama ibunya. “Melalui anak patung itu, kita melihat diri kita sendiri, dan kita perlu mematahkan tabo tersebut, kerana kita sentiasa berdepan dengan diskriminasi,” tambahnya.

    Portfolio Anambe dan Por kini termasuk membuat anak patung dengan lukisan muka dan badan yang melambangkan lima lagi kumpulan orang asli lainnya.

    Setiap satunya dihasilkan sendiri tanpa bantuan mesin jahit, dipakaikan pakaian tradisional dan dicat teliti menggunakan dahan tajam dari pokok di halaman belakang rumah mereka, seperti tradisi orang asli.

    Walaupun mereka yang pertama menggunakan media sosial untuk menjangkau khalayak yang besar, yang lain telah mengikuti jejak mereka.

    Sementara itu, We’e’ena Tikuna, seorang pereka fesyen orang asli yang dilahirkan di hutan hujan Amazon dan kini menetap di Rio, mula membuat anak patung orang asli untuk dipakaikan pakaian rekaannya.

    “Saya menghormati kerja tangannya dan kerja wanita orang asli lainnya. Kami perlu perwakilan orang asli,” menurut Tikuna merujuk kepada Anambe.

    Anambe menamakan anak patung pertamanya sebagai Anaty sempena nama anak perempuan Atyna, yang kemudiannya menjadi nama syarikatnya.

    Selain itu, 20 peratus daripada hasil tersebut diberikan kepada organisasinya, Maria Vicentina, yang dinamakan sempena ibu dan neneknya yang berpusat di Para, ia akan menyediakan kursus menjahit kepada wanita, membolehkan operasi anak patung Anaty berkembang pesat sambil menolong mereka menjana pendapatan. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...