Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Ayah suspek pembunuhan tiga orang anak

    ROUND LAKE BEACH, ILLINOIS, 16 JUN – Seorang lelaki Chicago yang didakwa atas kematian tiga orang anaknya yang masih kecil telah meninggalkan sekeping nota untuk isterinya berkata, “Jika saya tidak dapat memiliki mereka begitu juga dengan kamu,” menurut laporan pendakwa raya kelmarin.

    Nota tersebut disebut semasa perbicaraan bon bagi Jason E. Karels, 35, dari Round Lake Beach, yang berdepan tiga pertuduhan pembunuhan tahap pertama dalam insiden kematian Isnin lalu terhadap tiga orang anaknya iaitu Bryant Karels, 5 tahun, Cassidy Karels, 3, dan Gideon Karels, 2.

    Pegawai yang dihantar ke rumahnya bagi memeriksa kebajikan kanak-kanak tersebut menemui nota berkenaan, menurut pendakwa raya.

    Jason Karels hadir di hadapan Hakim Daerah Lake, Theodore Potkonjak dan diperintahkan dengan tahanan bon AS$10 juta.

    Pejabat Peguam Negeri Daerah Lake akan berusaha untuk menahan Karels tanpa kemungkinan bon tunai dan usul itu akan dibicarakan di mahkamah pada 13 Julai nanti, kata pendakwa raya, Jeff Fackham.

    Karels ditahan selepas melarikan diri daripada pihak polis dalam pemburuan yang berakhir dengan nahas Isnin lalu di sebuah jambatan Interstate 80 di Joliet, kata Ketua Polis Round Lake Beach, Gilbert Rivera pada sidang akhbar Selasa lalu.

    Karels telah dimasukkan ke hospital selepas kemalangan tersebut tetapi telah dibebaskan, kata pendakwa raya. Rivera juga berkata, ibu bapa berkenaan berkongsi hak penjagaan anak-anak mereka tetapi tidak tinggal bersama. Rivera turut mengatakan bahawa dia tidak mengetahui status perkahwinan pasangan tersebut.

    Selepas insiden nahas di Joliet, Karels memberitahu responden pertama bahawa dia bertanggungjawab atas kematian anak-anaknya dan telah cuba membunuh diri sebelum melarikan diri dari rumah, kata Rivera. Pegawai turut menemui darah lelaki itu di dalam rumah daripada percubaannya mencederakan diri sendiri, kata Rivera. – AP

    Karels berdepan tiga pertuduhan pembunuhan tahap pertama dalam kematian tiga orang anaknya yang masih kecil pada Isnin lalu. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...