Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Bagnaia mahu sempurnakan tugas rangkul gelaran juara

    SEPANG, MALAYSIA, 21 OKT – Pendahulu MotoGP, Francesco Bagnaia kelmarin berkata, dia menumpukan sepenuh perhatian kepada pemanduan yang sempurna untuk merebut gelaran juara dunia buat pertama kali pada hujung minggu ini di Malaysia.

    Penunggang jentera Ducati dari Itali itu akan bersaing di perlumbaan kedua terakhir musim ini dengan kelebihan 14 mata di hadapan seterunya, Fabio Quartararo yang terbabas semasa di Australia. Bagnaia bakal dinobatkan sebagai juara dunia Ahad ini jika dia menang di Sepang manakala Quartararo pula berakhir di tempat keempat atau bawah.

    “Pada masa ini saya agak tenang. Masalahnya sekarang ialah cuaca, hujan boleh turun pada Sabtu dan Ahad. Dari segi perlumbaan, sudah tentunya tekanan itu ada, namun, saya tahu kami telah melakukan sesuatu yang indah pada tahun ini,” kata pelumba berusia 25 tahun itu.

    “Kami masih lagi perlu menyiapkan tugasan dan itu adalah tumpuan utama saya. Jika saya mahu berikan yang terbaik, saya harus menumpukan sepenuh perhatian untuk menyempurnakannya.

    “Jika saya asyik fikirkan mengenai perkara-perkara yang berikan saya tekanan, sudah pasti saya akan berasa tertekan.

    “Teman wanita saya dan keluarga ada di sini dan mereka akan membantu saya untuk menjadi lebih tenang,” kata Bagnaia, yang selalunya akan melihat wayang dan membaca untuk mengawal perasaannya. Manakala penunggang dari Perancis, Quartararo berkata dia tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan dalam mempertahankan kejuaraannya.

    “Saya di dalam posisi di mana saya tidak perlu untuk berfikir mengenai apa-apa perkara. Hanya perlu cabar diri saya untuk berikan yang terbaik,” katanya.

    “Ia belum berakhir. Saya suka berlumba di litar ini dan saya akan berikan yang terbaik dalam sesi kelayakan.”

    MotoGP kini kembali ke Malaysia buat pertama kali sejak 2019 selepas dibatalkan kerana COVID-19. Pihak penganjur menjangkakan seramai 170,000 pengunjung bakal membanjiri Sepang selama tiga hari ini. – AFP

    Aksi penunggang Itali, Francesco Bagnaia daripada pasukan Ducati Lenovo ketika menjalani sesi latihan bebas di Litar Antarabangsa Sepang, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...