Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Bantu polis banteras jenayah

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JAN – Memang tidak dapat dinafikan bahawa tugas menjaga keamanan dan kesejahteraan negara itu adalah tugas pasukan polis, akan tetapi kita janganlah pula menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab tersebut kepada mereka semata-mata.

    “Oleh yang demikian, kerjasama dan kesepakatan yang padu antara pasukan polis dan agensi-agensi penguatkuasaan keselamatan, pihak-pihak yang berkepentingan dan kerjasama daripada masyarakat adalah sangat diharapkan,” kata khatib semasa khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Mensyukuri Nikmat Keamanan dan Kesejahteraan’.

    Khatib dalam khutbahnya turut mengongsikan bahawa Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) merupakan antara agensi keselamatan kerajaan yang diamanahkan dan dipertanggungjawabkan selaku tonggak utama untuk menegakkan keamanan, kesejahteraan dan keharmonian berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.

    Pada 1 Januari lalu, katanya, genaplah 101 tahun usia PPDB di mana sepanjang penubuhannya, PPDB telah banyak menempuhi pelbagai cabaran dan dugaan dari tahun ke tahun dalam membanteras pelbagai jenis jenayah yang berupa tradisional dan bukan tradisional, di samping ancaman siber dan sebagainya.

    Khatib turut menyatakan sungguh pun menghadapi cabaran dan dugaan berkenaan, demi menanai amanah dan kepercayaan yang diberikan kerajaan dan masyarakat, agensi tertua di negara ini itu sentiasa bersiap sedia berkhidmat untuk masyarakat secara berterusan setiap hari demi memartabatkan kedaulatan negara, memperkasa kestabilan, pembangunan serta pertumbuhan sumber ekonomi daripada segala ancaman yang boleh menggugat keselamatan masyarakat dan negara.

    “Keamanan, kesejahteraan dan keharmonian dalam hidup berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara sangat ditekankan oleh agama kita.

    “Sesungguhnya keamanan dan kesejahteraan itu adalah nikmat kurnia Allah SWT yang amat berharga. Ini kerana dengan keamanan dan kesejahteraan itu, agama dapat dipelihara, kemajuan dapat dijana dan keselamatan itu dapat dirasakan,” jelasnya.

    Justeru itu, katanya, kita selaku rakyat dan penduduk yang bernaung di bumi Darussalam yang bertuah ini, wajib mensyukuri dan sentiasa memohon kepada Allah SWT agar nikmatNya akan sentiasa berkekalan dengan memperbanyakkan zikir mengingati Allah SWT, melaksanakan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya.

    Ini terbukti menerusi firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab, ayat 41 hingga 43 sebagaimana tafsirnya, “Wahai orang-orang yang beriman! Berzikirlah mengingat Allah dengan zikir yang sebanyak-banyaknya dan bertasbihlah kepadaNya pada waktu pagi dan petang. Dialah yang mengurniakan rahmat kepada kamu dan malaikat-malaikatNya pula (berdoa memohonkan ampun bagi kamu) untuk mengeluarkan kamu daripada kegelapan-kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan Dia adalah Maha Pengasih kepada orang-orang yang beriman.”

    Khatib menekankan bahawa agama kita menggalakkan umatnya supaya hidup saling tolong-menolong dan bantu-membantu ke arah perkara yang baik dan berkebajikan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    6 maut dalam kebakaran restoran, hotel

    PATNA, 26 APRIL — Kebakaran besar yang melanda sebuah restoran dan hotel di timur India kelmarin membunuh sekurang-kurangnya enam orang dan mencederakan 20 orang,...