Tuesday, February 18, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    BDCB, AUSTRAC jalin kerjasama

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Unit Perisikan Kewangan (UPK), Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dan Australian Transaction Reports and Analysis Centre (AUSTRAC) telah bersetuju untuk bekerjasama dalam pertukaran maklumat perisikan kewangan yang akan membantu dalam siasatan dan pendakwaan pembersihan wang haram dan pembiayaan pengganasan.

    Ke arah kerjasama berkenaan, kedua-dua agensi tersebut telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di Singapura, baru-baru ini.

    BDCB dalam kenyataan yang dikeluarkannya menjelaskan, penandatanganan MoU itu menandakan komitmen yang kukuh antara kedua-dua agensi dalam membanteras aktiviti pembersihan wang haram dan pembiayaan pengganasan, serta jenayah-jenayah berat yang lain.

    Sebelum penandatanganan MoU itu, UPK BDCB dan AUSTRAC telah bekerjasama dalam projek-projek lain antara lainnya yang berkaitan dengan program analyst hubbing dan inisiatif pembinaan kapasiti.

    Negara Brunei Darussalam mengalu-alukan MoU tersebut sebagai pencapaian dalam bidang kerjasama UPK BDCB dan AUSTRAC.

    MoU berkenaan merupakan yang kelapan ditandatangani oleh UPK BDCB. MoU yang telah ditandatangani sebelum ini adalah dengan unit-unit perisikan kewangan Malaysia, Indonesia, Korea Selatan, Bangladesh, Kemboja, Singapura, Laos dan Republik Filipina.

    Penandatanganan MoU bersama unit-unit perisikan kewangan berkenaan adalah selaras dengan prinsip pertukaran maklumat Egmont Group, iaitu sebuah organisasi global yang merangkumi unit-unit perisikan kewangan antarabangsa.

    Selain itu, ia juga adalah salah satu langkah dalam melaksanakan pematuhan terhadap piawaian antarabangsa berhubung kait membanteras aktiviti pembersihan wang haram dan pembiayaan pengganasan, khususnya Financial Action Task Force, Recommendation 29.

    UPK BDCB dan AUSTRAC, masing-masing merupakan agensi pusat di Negara Brunei Darussalam dan Australia untuk menerima, memohon, menganalisa dan mengongsikan perisikan kewangan dan maklumat lain berkaitan pembersihan wang haram dan pembiayaan pengganasan.

    Wakil BDCB dan AUSTRAC semasa sesi penandatanganan MoU, baru-baru ini.- Gambar serahan BDCB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda