Thursday, May 9, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Beberapa permasalahan takbir az-zawaid sembahyang Hari Raya

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Siri Satu

    Suasana hari raya sentiasa dirasai kemeriahannya, sama ada Hari Raya Fitri mahupun Hari Raya Adha. Suasana kemeriahan Hari Raya jelas kelihatan dengan ramainya orang menghadiri sembahyang sunat Hari Raya.

    Sembahyang sunat Hari Raya ini mempunyai sifat yang sama dengan sembahyang sunat yang lain. Akan tetapi, terdapat perkara-perkara sunat yang tidak ada pada sembahyang sunat yang lain, iaitu antaranya ialah disunatkan melakukan takbir az-zawaid.

    Oleh kerana sembahyang sunat Hari Raya ini dilakukan hanya dua kali setahun iaitu Hari Raya Fitri dan Hari Raya Adha, maka tidak hairanlah jika ada sebahagian orang yang terlupa untuk melakukan takbir az-zawaid ini semasa sembahyang sunat Hari Raya.

    Maka akan diterangkan beberapa permasalahan yang berkaitan dengan takbir az-zawaid dalam sembahyang sunat Hari Raya ini.

    Pengertian takbir az-zawaid dan hukumnya
    Takbir az-zawaid ialah takbir-takbir tambahan dalam sembahyang sunat Hari Raya yang dilakukan selepas takbir al-ihram pada rakaat pertama dan selepas takbir intiqal iaitu takbir ketika bangun daripada sujud pada rakaat kedua.

    Sembahyang sunat Hari Raya ini mempunyai sifat yang sama dengan sembahyang sunat yang lain. – Gambar fail

    Takbir az-zawaid ini sunat dilakukan dalam sembahyang sunat Hari Raya Fitri dan Hari Raya Adha berdasarkan riwayat daripada ‘Aishah Radhiallahu ‘anha yang maksudnya:

    Sesungguhnya Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan takbir pada sembahyang Hari Raya Fitri dan Hari Raya Adha, pada rakaat pertama tujuh kali takbir dan pada rakaat kedua lima kali takbir, … selain dua takbir rukuk. (Hadis riwayat Abu Daud)

    Bilangan dan masa melakukan takbir az-zawaid
    Takbir az-zawaid dilakukan pada rakaat pertama sebanyak tujuh kali selepas membaca doa iftitah dan sebelum membaca at-ta‘awwudz dan surah Al-fatihah, dan dilakukan sebanyak lima kali selepas takbir intiqal iaitu takbir ketika bangun daripada sujud pada rakaat kedua sebelum membaca at-ta‘awwudz dan surah al-fatihah.

    Mengangkat tangan ketika melakukan takbir az-zawaid
    Sunat mengangkat tangan setiap kali melakukan takbir az-zawaid sepertimana mengangkat tangan ketika melakukan takbir yang lain seperti takbir al-ihram dan takbir al-intiqalat, dan meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri dibawah paras dada.

    Zikir selepas setiap takbir az-zawaid
    Ulama sepakat mengatakan bahawa takbir az-zawaid dibaca dengan jahar manakala bacaan zikir selepas setiap kali takbir itu dibaca dengan israr. Bacaan takbir itu, sunat diselangi dengan bacaan zikir yang sederhana panjang seperti bertahlil, bertakbir dan bertahmid. Oleh itu, bermacam-macamlah versi bacaan zikir yang disebutkan ulama:

    Menurut jumhur ulama, bacaan zikir selepas setiap kali takbir az-zawaid itu dilakukan yang maksudnya:

    Ertinya: Maha suci Allah, segala puji hanya bagi Allah, tiada tuhan (yang disembah) melainkan Allah dan Allah Maha Besar.

    Zikir-zikir di bawah ini juga boleh dibaca, sebagaimana yang diamalkan oleh sebahagian para sahabat. Zikir-zikir yang dimaksudkan itu ialah:

    Menurut ash-Shaidalani Rahimahullahu Ta‘ala, ada sebahagian sahabat membaca zikir yang maksudnya:

    Ertinya: Tiada Tuhan (yang disembah dengan sebenar-benarnya yang maujud) melainkan Allah (jua), yang tunggal, tiada sekutu bagiNya, yang mempunyai kerajaan (di langit dan di bumi), dan mempunyai kepujian, dan Dialah (Tuhan) di atas tiap-tiap sesuatu yang berkuasa.

    Menurut Ibnu ash-Shabbagh Rahimahullahu Ta‘ala pula, ada juga yang membaca zikir mengikut kebiasaan seperti zikir yang maksudnya:

    Ertinya: Allah Maha Besar Yang Teramat Besar, segala puji bagi Allah dengan sebanyak-banyaknya, Maha Suci Allah pada waktu pagi dan waktu petang, dan semoga Allah mencucuri rahmat kepada Sayyidina Muhammad serta ahli keluarga dan para sahabat baginda dengan puji-pujian yang berlimpah-limpah.

    Sementara menurut al-Mas‘udi Rahimahullahu Ta‘ala pula, ada juga para sahabat membaca zikir seperti yang maksudnya:

    Ertinya: Maha suci Engkau ya Allah dan segala puji hanya bagiMu, Maha Berkat namaMu, Maha tinggi kebesaranMu, Maha besar pujianMu, serta tiada Tuhan (yang disembah) melainkan Engkau.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pegawai Korea Utara bantu bina dinasti Kim meninggal dunia

    PYONGYANG, 8 MEI - Kim Ki Nam, ketua propaganda Korea Utara yang membantu membina kultus personaliti di sekitar tiga pemimpin dinasti negara itu, telah...