Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Beijing, Shanghai longgarkan sekatan COVID

    BEIJING, 29 MEI – Pembeli-belah kembali ke gedung-gedung perniagaan di Beijing hari ini ketika ibu negara China itu melonggarkan sekatan pandemik selepas mengisytiharkan penularan COVID yang berterusan itu kini sudah terkawal.

    Pembukaan semula separa gedung-gedung membeli-belah dan pejabat di Beijing disambut baik oleh penduduk yang keletihan dan perniagaan yang bergelut untuk kembali kepada keadaan normal. Ditambah dengan beberapa pelonggaran beransur-ansur di Shanghai, ia menandakan bahawa situasi terburuk penularan berkembar di bandar-bandar utama China semakin terkawal.

    Perintah berkurung dan larangan lain di bawah strategi ‘sifar COVID’ China semakin mengecewakan penduduk ketika mereka melihat negara lain sudah pun mula melonggarkan sekatan dan membuka semula sempadan. Sebahagiannya menunjukkan penentangan dan mengadakan bantahan di kompleks-kompleks apartmen dan asrama universiti, di sebuah negara di mana orang ramai berfikir dua kali untuk bercakap di khalayak umum disebabkan natijahnya.

    Restoran kekal ditutup di Beijing kecuali untuk pesanan bawa pulang dan penghantaran, manakala ramai orang di Shanghai masih keluar dengan pas khas dan masa terhad, meskipun jumlah kes baharu menurun. Pegawai kebanyakan dilihat masih berhati-hati di bawah satu sistem yang sudah pun menghukum mereka kerana kurangnya penguatkuasaan jika penularan kembali meningkat atau muncul semula.

    China merekodkan 293 kes baharu pada Sabtu, 78 daripadanya adalah daripada kalangan orang yang tiba dari luar negara.

    Shanghai mempunyai paling banyak kes bukan import dengan 122 kes dan Beijing mempunyai 21 kes daripada populasi lebih daripada 20 juta di kedua-dua bandar.

    Jurucakap bandar, Xu Hejian mengatakan kes sekali-sekala masih dikesan di beberapa daerah, namun ia masih dalam jumlah terkawal. “Penularan kali ini secara efektifnya agak terkawal,” katanya. – AP

    Penduduk memakai pelitup muka berjalan melepasi sebuah kedai yang baru dibuka du sebuah kompleks membeli-belah selepas sekatan di Beijing dan Shanghai dilonggarkan. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...