Thursday, May 9, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    Berbekalkan keazaman, belia ceburi dunia perniagaan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    Golongan belia merupakan aset yang amat berharga serta tonggak dan kekuatan bagi sesebuah negara kerana mereka adalah pewaris kepimpinan negara dan kesinambungan umat di masa hadapan.

    Sebagai generasi harapan negara dan bangsa, para belia kini dilihat lebih berani mencabar diri sendiri untuk tampil menjadi pengusaha demi kelangsungan hidup tanpa menunggu pekerjaan daripada mana-mana sektor kerajaan mahupun swasta.

    Dewasa ini, jumlah pengusaha-pengusaha muda yang berjaya di negara ini semakin meningkat yang mampu membangun syarikat sendiri malah turut berupaya membantu golongan belia yang lain dengan memberikan peluang pekerjaan dan sebagainya.

    Bagi Dayang Nurkhairunnisa binti Idris, 34, yang merupakan seorang graduan Sarjana dalam Bahasa Melayu dan Linguistik, Universiti Brunei Darussalam, menceburi bidang perniagaan makanan secara kecil-kecilan merupakan titik pertama bagi beliau untuk melangkah ke alam perniagaan yang besar pada kemudian hari.

    Pada masa ini, beliau menumpukan untuk menjual Nasi Katok dan juga Lok-Lok yang mendapat permintaan yang cukup menggalakkan daripada rakan dan keluarganya.

    Dayang Nurkhairunnisa semasa ditemui Media Pertama, baru-baru ini.

    Di samping itu, Dayang Khairunnisa juga menjual variasi Lok-lok yang merupakan salah satu hajat Allahyarham adik iparnya yang ingin beliau mempelbagaikan lagi menu jualannya.
    Antara menu yang popular ditempah oleh para pelanggan Dayang Nurkhairunnisa ialah ‘NF Nasi Katok’ dan ‘NF Nasi Katok Udang Masak Sambal’.

    Perniagaan yang dijalankan secara dalam talian dan menyertai aktiviti jualan berkala yang dianjurkan oleh pelbagai pihak di negara ini nyata membuat belia ini matang dalam mengharungi cabaran dunia perniagaan.

    Setelah menamatkan pengajian di peringkat sarjana pada tahun 2017 dan sempat bekerja buat beberapa tahun, dengan sokongan suami beliau kini bergiat aktif dalam bidang perniagaan makanan meskipun dari rumah sahaja.

    “Selepas menamatkan pengajian kursus sarjana pada 2017, saya belum mendapat sebarang tawaran pekerjaan. Disebabkan itu, saya mencuba menjual makanan di kalangan kawan-kawan saya, suami dan ibu.

    “Semenjak itu, semakin banyak tempahan yang diterima dan dari situlah ia memberikan dorongan kepada saya untuk berniaga sehingga kini,” kongsi Dayang Nurkhairunnisa.

    Dayang Nurkhairunnisa mengongsikan antara menu yang popular ditempah oleh para pelanggannya ialah ‘NF Nasi Katok’ dan ‘NF Nasi Katok Udang Masak Sambal’.

    Sementara itu, jelas beliau penjualan Lok-Lok baharu sahaja dimulakan pada awal tahun 2022 semasa beliau menyertai pop-up sales di Kuala Belait. Di samping itu, ia juga merupakan salah satu hajat Allahyarham adik iparnya yang ingin beliau mempelbagaikan lagi menu jualannya tersebut selain Nasi Katok.

    Beliau juga bijak menggunakan media sosial dengan menawarkan jualannya menggunakan platform medial sosial Instagram dan menerusi iklan di WhatsApp.

    Menyentuh mengenai pendorong semangat dan tulang belakangnya dalam bidang perniagaannya, Dayang Nurkhairunnisa menjelaskan ibu dan suaminya merupakan pendorong utamanya selama ini dalam bidang tersebut yang banyak memberi idea dan kata-kata semangat untuk membuka perniagaan. 

    Jelasnya mereka menasihatkan melalui berniaga boleh dijadikan sebagai mata pencarian untuk mendapatkan perbelanjaan yang halal bagi diri sendiri mahupun keluarga.

    Ketika ditanya mengenai harapan dan perancangan masa depan, beliau mengharapkan perniagaannya akan berkembang lagi bukan sahaja daripada platform media sosial malah dapat membuka kedai makan sendiri agar dapat menarik lebih ramai pelanggan.

    Pada masa yang sama beliau turut memberikan nasihat dan saranan kepada para belia di negara ini terutamanya bagi mereka yang belum lagi mendapat pekerjaan tetap atau bagi mereka yang ingin mendapatkan pendapatan lebih.

    “Memandangkan pada masa ini sukar untuk mendapat pekerjaan sama ada di sektor kerajaan atau swasta, saranan saya agar para belia di luar sana jangan terlalu memilih pekerjaan dan jangan hanya menunggu peluang pekerjaan di sektor kerajaan dan sebolehnya bekerja secara sendiri.

    “Para belia perlu membuka minda mereka untuk berfikir di luar kotak seperti memulakan perniagaan sendiri secara kecil-kecilan dahulu untuk mendapatkan pendapatan seharian daripada hanya bergantung pada ibu bapa atau keluarga sahaja.

    “Melalui berniaga ini juga, para belia dapat menggunakan masa mereka dengan kegiatan yang bermanfaat, selain itu juga sebagai menyahut seruan kerajaan, dan tidak mustahil mereka dapat membawa nama Brunei ke luar negara apabila perniagaan yang diusahakan mereka berjaya nanti.

    “Sentiasa mencabar diri untuk membuat sesuatu yang berlainan dan mempunyai sifat yang positif dan tidak mudah berputus asa dalam apa jua jenis pekerjaan yang dilakukan,” ujarnya semasa mengakhiri temu bual.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Hong Kong gagalkan percubaan rompakan

    HONG KONG, 8 MEI - Polis Hong Kong menahan lima lelaki yang cuba merompak sebuah kedai barang kemas, dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV)...