Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Berjuang selamatkan hutan daripada pembalakan

    Gambar AFP

    MAKOKOU, GABON – Di bawah kanopi hijau di hutan purba Massaha di timur laut Gabon, Arsene Ibaho memimpin sekumpulan pengunjung menuju sebatang pohon yang dianggap suci dan dapat berbicara dengan penduduk di sana

    “Tanah liat merah disapu di dahi setiap penduduk bagi membolehkan kami berhubung dengan nenek moyang, dan memberi peringatan tentang kehadiran kami,” kata Ibaho.

    Selepas itu, lelaki berusia 43 tahun itu melakukan ritual di kaki pohon kevazingo, dengan membacakan kata-kata dalam bahasa tempatan, iaitu Kota.

    Ibaho merupakan salah seorang daripada kira-kira 200 orang penduduk di Massaha, sebuah perkampungan di wilayah Ogooue-Ivindo, lebih 600 kilometer daripada ibu kota Libreville.

    Ibaho berkata, pohon suci itu juga diabadikan dalam cerita rakyat sebagai pembawa tuah bagi para nelayan semasa musim kemarau pertengahan tahun.

    Arsene Ibaho memimpin sekumpulan pengunjung menuju sebatang pohon yang dianggap suci.
    Pihak kerajaan mencadangkan untuk menjadikan kawasan hutan tersebut sebagai dilindungi.
    Arsene Ibaho semasa berkempen untuk melindungi hutan purba yang suci di timur laut Gabon.

    Beatrice Itsetsame, 69, menceritakan perjalanannya ke dalam hutan tersebut, di mana dia mengumpulkan nkumu, sejenis tumbuhan merambat yang boleh dimakan, dan juga daging liar untuk upacara.

    “Hutan tersebut sangat kaya, ia banyak membantu kami,” katanya.

    Massaha, terletak di tepi Libumba, anak sungai dari Sungai Ivindo, berada di tengah-tengah perdebatan sengit tentang masa depan penebangan kayu dan konservasi di Gabon.

    Negara Afrika tengah itu menganjurkan sidang kemuncak selama dua hari dengan membincangkan bagaimana untuk melindungi hutan tropika – sesuatu yang sangat berharga bagi biodiversiti dan menghalang emisi karbon.

    Pembalak telah diberikan kebenaran untuk mengeksploit pokok-pokok di kawasan Massaha yang meliputi 11,300 hektar, sebuah kawasan yang ukurannya hampir seperti keluasan bandar Paris.

    Ibaho berkata pembalak mendirikan sebuah gedung kayu di dalam hutan di sebuah kawasan yang dahulunya merupakan sebuah kampung.

    Mereka menggunakan jentolak untuk membuka jalan di daerah tersebut, sehingga menjadikannya mustahil untuk mengenal pasti lokasi dari tiga buah kawasan perkuburan, kata Ibaho sambil memegang sebilah parang untuk membersihkan semak-samun di sekitarnya.

    “Mereka tidak mengetahui bahawa di mana letaknya perkampungan lama – kini sejarah kami telah musnah separuh,” kata Serge Ekazama-Koto, seorang jurucakap masyarakat.

    Merasa marah dan risau, masyarakat tempatan tiga tahun lalu meminta kerajaan untuk menghapuskan kebenaran pembalakan dengan alasan menyalahi undang-undang dan mengancam ‘warisan biokultural’.

    Pada Mac 2022, aktivisme mereka telah mengundang kunjungan daripada Menteri Air, Perhutanan dan Alam Sekitar, Lee White.

    White, seorang konservatif kelahiran British, serta-merta menghentikan pembalakan, mengarahkan syarikat untuk mengalihkan mesin-mesin mereka dan mencadangkan untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai dilindungi.

    Idea tersebut masih lagi dibincangkan sebagai sebahagian daripada rombakan syarat pembalakan.

    White, semasa temu bual bersama AFP, mengakui bahawa ada masalah yang sedang berlaku.

    “Hakikat bahawa jentolak berada di hutan suci berdekatan dengan sebuah perkampungan bermakna kami gagal dalam setiap peringkat,” katanya.

    “Oleh sebab itu, kami ketika ini bertanya, adakah kita memerlukan status yang lebih kuat?,” katanya.

    Penduduk tempatan berkata mereka merasa bersemangat oleh perkembangan terbaharu sejak kunjungan White. Bulan lalu sebuah pasukan kerajaan pergi ke tempat tersebut untuk menentukan koordinasi tapak-tapak suci yang merupakan kunci penting dalam proses perlindungan.

    Pihak berkuasa, wakil-wakil masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan sedang mempertimbangkan pilihan status.

    Pilihan tersebut termasuk model yang diilhamkan oleh negara-negara Barat Afrika yang bertujuan untuk melindungi kawasan-kawasan tradisional, membenarkan penuaian sumber semula jadi yang mampan, dan menfasilitasi penyertaan masyarakat setempat.

    Masyarakat-masyarakat ‘ingin menjadi pusat pengurusan kawasan itu’ namun status perlindungan pada masa ini mencerminkan ‘model pengurusan negara’, kata Alex Ebang Mbele, ketua pertubuhan bukan kerajaan dikenali sebagai Persatuan Nsombou Abalge-Dzal (NADA), yang menggesa untuk melaksanakan undang-undang pemuliharaan baharu.

    “Sering kali, negara yang sepatutnya melaksanakan kawasan perlindungan,” kata Lucien Massouko, pengarah besar hidupan liar dan kawasan terlindung di Kementerian Perhutanan dan Alam Sekitar.

    “Tetapi apabila masyarakat ingin melindungi kawasannya, mereka mulai memiliki konsep konservasi,” katanya.

    Ibaho berkata masyarakat setempat telah memilih nama untuk tapak tersebut dalam bahasa Kota iaitu ‘Ibola Dja Bana Ba Massaha’, yang bererti dilindungi untuk semua anak Massaha.- AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...