Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Berkenan ke Istiadat Pertabalan King Charles III

    Gambar oleh Infofoto

    LONDON, UNITED KINGDOM, 7 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kelmarin, berkenan berangkat menghadiri Istiadat Pertabalan His Majesty King Charles III, King of the United Kingdom (UK) of Great Britain and Northern Ireland, dan Her Majesty Queen Camilla yang berlangsung di Westminster Abbey, London.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Istiadat Pertabalan berkenaan dihadiri oleh jemputan yang terdiri daripada kerabat-kerabat diraja, ketua-ketua negara dan kerajaan serta para tetamu khas daripada seluruh dunia.

    Istiadat bermula dengan perarakan dari Buckingham Palace dan berakhir di Westminster
    Abbey. Semasa perarakan tersebut, His Majesty King Charles III dan Her Majesty Camilla the Queen Consort telah menaiki kenderaan khas, Diamond Jubilee State Coach, bagi menghadiri Istiadat Pertabalan.

    Selepas Istiadat Pertabalan tersebut, His Majesty King Charles III dan Her Majesty Queen Camilla berangkat pulang ke Buckingham Palace bersama perarakan beristiadat yang berskala besar iaitu Coronation Procession, di mana Baginda berdua telah menaiki kenderaan khas, Gold State Coach.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat menghadiri Istiadat Pertabalan His Majesty King Charles III, dan Her Majesty Queen Camilla di Westminster Abbey, London. Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat menghadiri majlis resepsi yang dihoskan oleh His Majesty King Charles III dan Her Majesty Queen Camilla di Buckingham Palace sehari sebelum Istadat Pertabalan.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat ke Buckingham Palace, London bagi The King’s Reception for Overseas Guests yang dihoskan oleh His Majesty King Charles III pada 5 Mei lalu. Berangkat sama, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    ATAS & BAWAH: KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat menghadiri Istiadat Pertabalan His Majesty King Charles III, dan Her Majesty Queen Camilla di Westminster Abbey, London. Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    His Majesty King Charles III, dan Her Majesty Queen Camilla melambai ke arah orang ramai dari balkoni Buckingham Palace selepas Istiadat Pertabalan. – AFP

     

    Coronation Procession atau Perarakan Pertabalan tersebut telah disertai oleh Angkatan Bersenjata dari Komanwel dan British Overseas Territories, dan setiap Perkhidmatan Angkatan Tentera UK.

    Perarakan berkenaan turut disertai oleh 10 orang anggota Angkatan Bersenjata Diraja
    Brunei (ABDB).

    Di Buckingham Palace, His Majesty King Charles III menerima tabik hormat diraja yang terdiri daripada Angkatan Tentera UK dan angkatan tentera negara-negara Komanwel di
    Buckingham Palace Gardens, kemudiannya berada di balkoni Buckingham Palace untuk bersua muka dengan orang ramai.

    Baginda Sultan dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan menyampaikan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada His Majesty King Charles III dan Her Majesty Queen Camilla berikutan dengan Istiadat Pertabalan Their Majesties.

    Selama bertahun-tahun, Negara Brunei Darussalam dan UK telah menjalin hubungan yang akrab dan istimewa, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengalu-alukan peluang yang lebih
    banyak lagi bagi kedua-dua pihak untuk mengembangkan hubungan kerjasama dua hala dan persahabatan yang kukuh demi manfaat rakyat kedua-dua buah negara.

    Baginda yakin di bawah kepimpinan His Majesty King Charles III, UK akan maju dan makmur, bahkan akan terus mencapai kebaikan yang lebih besar demi kesejahteraan seluruh rakyat UK serta Komanwel.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan menyampaikan salam hormat dan ucapan tulus ikhlas kepada His Majesty King Charles III, Her Majesty Queen Camilla serta seluruh ahli kerabat diraja untuk terus dikurniakan kesihatan dan kebahagiaan yang berpanjangan, serta keamanan dan kesejahteraan bagi rakyat UK.

    Terdahulu, pada 5 Mei, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat menghadiri The King’s Reception for Overseas Guests yang dihoskan oleh His Majesty King Charles III yang berlangsung di Buckingham Palace, London.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Majlis resepsi berkenaan telah dihadiri oleh para tetamu luar negara dan semasa majlis tersebut, His Majesty King Charles III berkesempatan beramah mesra bersama KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan para tetamu yang lain.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Saintis China bina model 3D embrio manusia berusia 3 minggu

    BEIJING, 25 APRIL - Para saintis China membina semula model 3D embrio manusia dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas persenyawaan, yang membuka laluan...