Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Berkenan sertai pasukan Brunei U-16

    Oleh Fadhil Yunus

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Pasukan bola sepak bawah 16 tahun, bawah 19 tahun dan bawah 23 tahun Brunei Darussalam telah memulakan persiapan menjelang pertandingan utama akan datang yang diluluskan oleh Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) bagi kumpulan umur masing-masing tahun ini.

    Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim telah dipilih dalam pasukan bawah 16 tahun negara.

    Turut menyertai skuad itu ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Abdul Haseeb dan Pengiran Anak ‘Abdul Muta’ali Haziq Hamidullah.

    Pasukan bawah 16 tahun baru-baru ini mengadakan sesi latihan kecergasan pertama mereka di gimnasium Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD).

    Tebuan Muda, yang telah dijadualkan untuk mengambil bahagian dalam Kejohanan AFF Bawah 16 Tahun Lelaki di Indonesia akan datang pada penghujung Julai, kini sedang dilatih oleh pasukan kejurulatihan yang diketuai oleh jurulatih Hazmin Hatta bin Haji Hamzah.

    Sementara itu, pasukan kebangsaan bawah 23 tahun telah meningkatkan persiapan menjelang Kejohanan Bola Sepak AFF Bawah 23 Tahun di Kemboja minggu depan.

    YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim berkenan menyertai sesi latihan kecergasan di gimnasium Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD), kelmarin. YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim telah menyertai pasukan bola sepak kebangsaan Bawah 16 tahun yang sudah memulakan persediaan menjelang pertandingan utama di bawah Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dalam kumpulan umur bawah 16, 19 dan 23 tahun bagi kejohanan 2022. – Gambar serahan FABD
    YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim semasa menjalankan sesi latihan kecergasan di gimnasium FABD. – Gambar serahan FABD

    Pasukan bawah 23 tahun telah berlatih selama berbulan-bulan secara maya sejak Ogos 2021 di tengah-tengah gelombang kedua jangkitan COVID-19 di negara ini.

    Memandangkan negara memasuki Fasa Endemik, pasukan itu kini telah dibenarkan berlatih dengan mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan.

    Latihan telah melibatkan beberapa pemain daripada pelbagai kelab antaranya DPMM FC, Kasuka FC, Kota Ranger FC, Indera SC, Wijaya FC, BSRC FC, MS ABDB, Panchor Murai FC, KB FC, BIBD dan Ar-Rawda.

    Pasukan bawah 23 tahun, yang dijangka membuat penampilan sulung dalam pertandingan serantau, telah diundi dalam kumpulan yang sama dengan Kemboja, Timor Leste dan Filipina.

    Saingan serantau Brunei juga berada di peringkat kemuncak persiapan ketika mereka menuju ke kejohanan yang dinanti-nantikan itu.

    Selain menjalankan sesi latihan rutin pasukan, pasukan bawah 23 tahun Malaysia mengadakan perlawanan persahabatan menentang Sabah FC di Stadium Likas Kota Kinabalu.

    Begitu juga, pasukan Vietnam Bawah 23 Tahun membuat persediaan dengan perlawanan ujian menentang Hanoi FC manakala pasukan kebangsaan bawah 23 tahun Kemboja telah memperkemaskan persiapan mereka di Stadium Nasional Morodok Techo yang baharu.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...