Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Brunei masuki monsun peralihan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Negara Brunei Darussalam akan mula memasuki monsun peralihan pada awal Oktober iaitu selepas monsun barat daya dan sebelum memasuki monsun timur laut di mana monsun peralihan itu dijangka berterusan sehingga hujung November nanti.

    Sepanjang tempoh itu, kesan angin tempatan akan memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi cuaca harian negara.

    Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, menyatakan bahawa berdasarkan data klimatologi, Oktober dan November merupakan bulan-bulan di mana kejadian ribut petir lebih kerap berlaku dan menerima jumlah turunan hujan yang lebih banyak.

    Pada lazimnya, Oktober menerima jumlah purata turunan hujan sebanyak 313.6 mm, manakala November menerima jumlah purata turunan hujan sebanyak 322.9 mm iaitu antara jumlah turunan hujan yang tinggi bagi Brunei.

    Purata hari-hari berhujan bagi Oktober ialah 23 hari dan bagi November ialah 24 hari.

    BDMD menyatakan bahawa sepanjang monsun peralihan itu, negara lazimnya mengalami keadaan cuaca cerah pada waktu pagi dan hujan berasingan berlaku di kawasan pesisiran sekitar tengah hari, ribut petir berlaku di kawasan pedalaman pada sebelah petang dan merebak serta menjejaskan kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu malam dan kadangkala berlanjutan sehingga awal pagi keesokan harinya.

    Negara lazimnya juga mengalami tiupan angin yang perlahan dari pelbagai hala pada waktu pagi dan malam dan dari arah barat laut pada waktu petang serta keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit.

    BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa serta akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...