Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Pasukan Brunei muncul juara dalam kategori Berkumpulan dalam Kejohanan Golf Kadayan Seborneo selepas membuat sebanyak 881 pukulan di Kelab Golf Sarawak, Sarawak, Malaysia, baru-baru ini.
Kejohanan yang dianjurkan oleh Persatuan Golf Kedayan Sarawak ini disertai oleh 100 peserta yang mana 30 daripadanya adalah warga Brunei, yang melibatkan empat persatuan golf Kedayan (Brunei, Labuan, Sabah, Sarawak).
Dalam kategori Gross Individu, pemain golf veteran Brunei, Seruji bin Haji Setia mendapat tempat pertama dengan catatan lima di atas par 77. Sementara pemain dari Sarawak, Mohamad Lokman Mustaffa mendapat tempat kedua, diikuti pemain golf Brunei, Omar Asmat di tempat ketiga.
Manakala dalam kategori Nett Individu, pemain golf Brunei, Dany Karim mendapat tempat kedua dengan 70 pukulan.
Hadir bagi menyampaikan hadiah ialah Menteri Muda Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dr Ripin Lamat. Pasukan Brunei juga membawa pulang Piala Cabaran Datuk Rosman Isli.
