Sunday, May 19, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    BSM lancar stesen pengecasan pantas EV

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Sektor kenderaan elektrik (EV) negara mencatatkan mercu tanda bersejarah apabila Syarikat Pemasaran Brunei Shell (BSM) melancarkan stesen pengecasan pantas runcit pertama di Lambak, hari ini.

    Stesen pengecasan yang terletak di Stesen Minyak IBA, Lambak itu mengetengahkan sebuah unit pengecas Shell Recharge 172KWH yang lazimnya boleh mengecas sebuah EV daripada sifar hingga 80 peratus dalam tempoh bawah 30 minit.

    Pelancarannya telah disempurnakan bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha dan Timbalan Menteri di Jabatan Tenaga, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw.

    Dalam kata alu-aluannya, Pengarah Urusan BSM, Awang Muhammad Norshafiee bin Dato Paduka Haji Abdul Jalil menjelaskan bahawa semasa pelancaran Pasukan Petugas Bersama EV pada 2021, BSM telah memperkenalkan Shell Recharge iaitu penyelesaian hadapan dan destinasi bagi keperluan pengecasan EV.

    Beliau menerangkan lanjut bahawa dengan Shell Recharge, BSM dapat menawarkan pemilik EV cara yang mudah untuk mengecas kenderaan mereka di lokasi destinasi dan runcit on-the-go.

    Dengan akses kepada salah sebuah penyedia penyelesaian pengecasan elektrik global, tambah beliau, pihaknya akan terus memastikan mereka kekal terkini dengan pembelajaran dan teknologi e-mobiliti terkini yang diguna pakai secara global.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda, Yang Berhormat Dato Seri Setia Shamhary dan Dato Seri Paduka Haji Matsatejo semasa menyaksikan cara pengecasan kereta EV di Stesen Minyak IBA, Lambak, kelmarin.
    Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua; Yang Berhormat Menteri Pembangunan; Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, dan Timbalan Menteri di JPM melihat salah sebuah EV yang dipamerkan semasa majlis pelancaran berkenaan.
    Stesen pengecasan pantas runcit pertama yang dilancarkan BSM di Stesen Minyak IBA, Lambak, kelmarin.

    Mengulas mengenai stesen pengecasan pantas runcit pertama itu, Awang Muhammad Norshafiee berkata ia terletak di Stesen Minyak IBA dan berada berdekatan dua buah kedai makan popular di mana pemilik EV boleh menanti di lokasi yang selesa sambil kenderaan mereka dicas.

    Lokasi itu juga dipilih disebabkan kedudukannya kepada laluan utama dan ketersediaan infrastrukturnya, jelas beliau lagi.

    Beliau berkata lagi bahawa BSM merancang untuk mengambil pendekatan pragmatik dalam mengembangkan Shell Recharge di serata negara serta terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan pemain-pemain industri yang relevan untuk mengenal pasti keperluan bagi memenuhi pertumbuhan pemilikan EV.

    Selepas pelancaran, para menteri turut berpeluang untuk menyaksikan dengan lebih dekat dan diberikan penerangan mengenai peralatan dan kemudahan di stesen pengecasan pantas berkenaan serta menyaksikan kenderaan-kenderaan elektrik yang turut dipamerkan oleh para pembekal EV di Brunei.

    Pada masa ini, akses kepada Shell Recharge di stesen runcit boleh didapatkan menerusi penjual-penjual kereta yang menyertai.

    Dengan Shell Recharge, BSM akan menawarkan barisan penyelesaian kepada pemandu EV sebagai kaedah mudah untuk mengecas kenderaan mereka di lokasi destinasi dan runcit on-the-go serta juga di rumah.

    Mengulas mengenai stesen pengecasan pantas berkenaan kepada Media Permata, Pembangun Perniagaan Baharu BSM, Pengiran Zainul Asri bin Pengiran Abdul Razak menerangkan bahawa ia merupakan yang pertama di stesen minyak di Brunei di mana dengan pengecas pantas 175KWH, pemilik EV boleh mengecas kenderaan mereka daripada 20 kepada 80 peratus dalam tempoh kurang 30 minit bergantung pada saiz bateri EV.

    Beliau menerangkan lanjut bahawa matlamat mereka dengan pelaksanaan stesen pengecasan pantas itu menerusi kerjasama rapat bersama pihak kerajaan adalah untuk menggalakkan pertumbuhan dan penerimaan EV di Negara Brunei Darussalam.

    Pada masa yang sama, mereka juga ingin bekerjasama dengan penjual kereta dan menawarkan perkhidmatan pengecasan serta langganan Shell Recharge iaitu satu penyelesaian bagi pengecasan EV yang merupakan antara jenama pengecasan yang terbesar di dunia.

    Mengulas mengenai rancangan bagi stesen pengecasan pantas runcit seterusnya, Pengiran Zainul Asri menerangkan bahawa bagi mereka di Shell Recharge, mereka sudah bersedia untuk berkembang dengan adanya segala teknologi dan kepakaran yang diperlukan tetapi sebagai sebuah perniagaan, mereka juga memerlukan jumlah pelanggan atau pengguna yang ramai kerana ia merupakan satu pelaburan besar.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Helikopter presiden Iran ‘kemalangan’

    TEHRAN, 19 MEI - Sebuah helikopter yang membawa konvoi Presiden Iran, Ebrahim Raisi terlibat dalam ‘kemalangan’ hari ini, lapor media negara itu, tanpa menyatakan...