Thursday, August 11, 2022
23.2 C
Brunei

Capaian Internet berkualiti galak kembang ekonomi digital

-

KUALA LUMPUR – Usaha kerajaan Malaysia meningkatkan kualiti capaian Internet, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman, membuka ruang kepada rakyat untuk memanfaatkan teknologi terkini dalam aktiviti harian mereka khususnya dalam sektor ekonomi digital, sosial dan pendidikan.

Diklasifikasikan sebagai keperluan asas rakyat, penyediaan perkhidmatan Internet berkualiti menjadi agenda utama kerajaan yang dilaksanakan menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), merangkumi pembinaan menara komunikasi baharu di seluruh negara serta naik taraf kepada teknologi rangkaian 4G.

Perkhidmatan Internet jalur lebar talian tetap juga tidak lagi hanya bergantung pada Internet mudah alih, sebaliknya turut disediakan menerusi jalur lebar satelit termasuk di kawasan pedalaman seperti perkampungan Orang Asli.

Perkasa usahawan kecil

Antara yang menerima manfaat daripada usaha kerajaan ini ialah komuniti usahawan ekonomi digital yang bergantung pada kecekapan Internet untuk menjalankan perniagaan, dan mereka termasuk warga Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi).

Setakat 31 Mac lepas, terdapat 909 PEDi beroperasi di seluruh negara dan kerajaan akan terus menambah bilangannya dengan sasaran sebanyak 1,088 PEDi dapat diwujudkan menjelang akhir 2023.

Tan Sri Annuar Musa (dua, kiri) mendengar penerangan daripada kakitangan SKKM mengenai Menara Komunikasi di Kampung Mongkus, Serian yang dinaik taraf ke rangkaian 4G di bawah program JENDELA pada Program Kembara Connectivity.- Bernama
Jiehada Ematullah berkata capaian Internet yang stabil dan berkualiti amat penting untuk menjalankan perniagaan dalam talian. Beliau juga memanfaatkan sepenuhnya pelbagai aplikasi dalam talian sehingga membolehkan produknya dipasarkan hingga ke luar Johor.- Bernama
Salah seorang peniaga menggunakan komputer riba bagi mempromosikan produk perniagaannya.- Bernama

Berkongsi pandangan, Ikon Usahawan PEDi Felda Pasak, Kota Tinggi, Johor, Jiehada Ematullah Abdul Kapoor, 32, yang menjalankan perniagaan kosmetik dan makanan, berkata capaian Internet yang stabil dan berkualiti amat penting untuk menjalankan perniagaan dalam talian.

Melalui bimbingan dan latihan di PEDi Felda Pasak, beliau kini mahir merakam dan menyunting gambar serta video untuk tujuan promosi melalui pelbagai aplikasi media sosial selain tahu menggunakan platform pemasaran dalam talian.

“Untuk memuat naik video ke media sosial memerlukan capaian Internet yang laju dan kami menyokong usaha kerajaan dan syarikat telekomunikasi untuk menaik taraf perkhidmatan Internet,” katanya.

Bagi Ikon Usahawan PEDi Felda Kahang Barat, Johor, Siti Muaizal Md Yassin, 44, pula, beliau teruja menunggu siap projek jalur lebar yang kini dalam pelaksanaan di kawasan berkenaan.

Menurut usahawan kerepek peria itu, beliau memanfaatkan sepenuhnya pelbagai aplikasi dalam talian, membolehkan produknya dipasarkan hingga ke luar Johor.

Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Kahang Barat, Mohd Isa Yaaman berkata usaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menaik taraf perkhidmatan Internet amat bertepatan dengan keperluan semasa, dan capaian Internet yang berkualiti dapat memberi manfaat kepada kira-kira 1,250 penduduk di felda tersebut.

‘Kembara connectivity’

Bagi meninjau kualiti capaian Internet, infrastruktur komunikasi serta jaringan digital di setiap negeri, Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) Tan Sri Annuar Musa turun padang dari Sabah hingga ke Perlis melalui ‘Kembara Connectivity’.

Beliau turut melihat kemudahan yang disediakan di PEDi Felda Pasak dan Felda Kahang Barat serta beberapa lokasi di negeri lain dalam usaha menggalakkan penyertaan usahawan mikro, kecil dan sederhana dalam program ekonomi digital.

Pada lawatan itu, beliau juga memberi penerangan kepada pemimpin komuniti pelbagai peringkat mengenai usaha yang sedang dilakukan oleh kerajaan bagi meningkatkan kualiti capaian Internet serta peluang untuk rakyat meraih manfaat daripada ekonomi digital.

Antaranya berhubung JENDELA yang bertujuan menyediakan kesalinghubungan digital berkualiti kepada seluruh rakyat Malaysia yang dilaksanakan dalam dua fasa.

Fasa 1 (sedang berlangsung hingga akhir tahun ini) bertujuan meluaskan liputan 4G daripada 91.8 peratus kepada 96.9 peratus menjelang akhir tahun ini di kawasan berpenduduk, meningkatkan purata kelajuan jalur lebar mudah alih dari 25 megabait sesaat (Mbps) kepada 35 Mbps, memastikan 7.5 juta premis diliputi gentian optik dan perancangan serta pelaksanaan bagi menyediakan liputan 5G untuk komersial.

Fasa 2 (bermula 2023 dan seterusnya) pula melibatkan penggunaan Akses Jalur Lebar Tanpa Wayar Tetap (FWA) dan pelbagai teknologi yang bersesuaian bagi mengurangkan jurang digital.

Kerajaan turut menyediakan infrastruktur jalur lebar menggunakan kaedah Point of Presence (PoP) (projek hab gentian optik titik kehadiran), iaitu pemasangan infrastruktur jalur lebar gentian optik untuk kegunaan sekolah, kawasan perindustrian, premis kerajaan dan masyarakat sekeliling.

Projek PoP ini melibatkan dua fasa iaitu Fasa 1 (sedang dilaksanakan hingga akhir tahun ini) menjadikan lokasi berhampiran sekolah luar bandar sebagai hab, melibatkan 630 buah sekolah dan 47 kawasan perindustrian. Keutamaan pelaksanaan ialah sekolah luar bandar yang mempunyai murid paling ramai dan fokus kepada negeri yang paling banyak mempunyai sekolah yang belum diliputi gentian optik sepenuhnya.

Fasa 2 pula bertujuan menambah baik perkhidmatan jalur lebar luar bandar melibatkan 3,693 lokasi di seluruh negara.

Merakyatkan komunikasi

“Sekarang ini keperluan rakyat terhadap perkhidmatan komunikasi yang baik dan berkelas dunia itu menjadi satu kemestian yang amat besar, (dan) kerajaan telah membuat komitmen untuk menaik taraf mutu komunikasi. Tetapi ramai dalam kalangan pemimpin masyarakat tidak tahu (kerana) kalau jalan raya, jambatan itu nampak tetapi Internet tidak nampak cuma kita tahu di telefon kita (capaian Internet) laju atau tidak laju, ada line (liputan Internet) atau tak ada line.

“Untuk jadi laju (capaian Internet) kerja di belakangnya sangat banyak, tetapi tak ada siapa faham apa perlu dibuat. Kurangnya penyertaan rakyat (termasuk pemimpin masyarakat) dalam hal-hal yang berkaitan telekomunikasi tentunya usaha kurang berkesan.

“Saya ambil pendekatan untuk merakyatkan telekomunikasi, mening-katkan kefahaman hal-hal yang berkaitan telekomunikasi, maka dari situlah saya mulakan siri-siri jelajah komunikasi dengan membawa alat untuk mengukur tahap kelajuan Internet di sesebuah lokasi,” kata Annuar kepada pemimpin komuniti pada Majlis Taklimat JENDELA dan PoP di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Beliau pada masa sama menggesa syarikat telekomunikasi di negara ini agar lebih proaktif menaik taraf perkhidmatan Internet di menara komunikasi sedia ada, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman, bagi membantu kerajaan memperluas kesalinghubungan dan meningkatkan liputan Internet, sekali gus memastikan setiap penduduk menikmati capaian Internet lebih efisien dan berkualiti.

Kerajaan telah melabur berbilion ringgit untuk menyediakan infrastruktur komunikasi antaranya untuk projek PoP.

Selain boleh melaporkan masalah capaian Internet yang tidak memuaskan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), rakyat juga boleh menggunakan portal JENDELA Map yang dibangunkan oleh badan itu untuk menyemak dan menyalurkan maklum balas berkaitan liputan perkhidmatan komunikasi di kawasan masing-masing.- Bernama

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Hujan lebat ragut 7 nyawa

SEOUL, 9 OGOS – Terowong kereta api bawah tanah dan laluan jalan utama di ibu negara Korea Selatan, Seoul, ditenggelami air selepas hujan lebat...
- Advertisment -