Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Chiew perkemas taktikal powerplay skuad futsal lelaki

    KUALA LUMPUR, 20 APRIL – Ketua jurulatih futsal lelaki kebangsaan Malaysia, Chiew Chun Yong mahu memperkemas taktikal permainan powerplay dalam usaha melangkah jauh di Sukan SEA, Hanoi di Vietnam dari 12 hingga 23 Mei ini.

    Chiew berkata corak permainan itu perlu diberikan tumpuan lebih sebagai tindak balas lebih banyak gol dapat dijaringkan selain mengejar pihak lawan jika pasukan ketinggalan dari segi jaringan.

    “Ia kaedah yang berisiko namun jika dipraktikkan secara berkesan ia mampu memberikan keputusan yang baik namun berikutan kekangan masa kaedah itu sebelum ini tidak dimahirkan secara penuh.

    “Seperti dapat kita lihat semasa saingan skuad futsal lelaki pada Kejuaraan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 apabila banyak kaedah itu kita gunakan namun banyak menemui kegagalan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.

    Powerplay merupakan taktikal permainan melibatkan seorang penjaga gol yang pada mulanya hanya ditugaskan menjaga gawang gol sebelum naik ke atas melepasi garisan tengah gelanggang bagi membentuk rangkaian lima pemain di kawasan lawan.

    Selain daripada aspek taktikal, Chiew berkata pihaknya juga sedang mempersiapkan anak buahnya dari sudut kecerdasan fizikal dan mental.

    “Cabaran besar yang saya hadapi kini ialah dari segi itu kerana jika ia dapat diperbaiki dengan lebih baik dengan corak permainan diterapkan, kita mampu pergi jauh,” katanya.

    Ditanya mengenai persiapan akhir skuad itu, Chiew berkata semua pemain akan melaporkan diri bagi mengikuti latihan pusat bermula 23 April ini sebelum bertolak ke Vietnam pada Mei bagi mengharungi beberapa perlawanan persahabatan dengan kelab futsal di negara berkenaan.

    Skuad bimbingan Chiew menyasarkan sekurang-kurangnya pingat gangsa pada sukan dwitahunan tersebut. – Bernama

    Chiew Chun Yong (kiri) bersama Khairul Effendy ketika sidang media mengenai persediaan menghadapi temasya Sukan SEA Hanoi, Vietnam di MSN, Bukit Jalil. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...