Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Cipta rangka fosil daripada kulit telur

    Oleh Amri HTZ

    Meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan di samping lebih mengenali peribadi mereka.

    Selain menonton program TV bersama, banyak lagi perkara yang boleh dilakukan seperti bermain permainan papan, membaca buku mahupun melakukan aktiviti kraf.

    Ketika mereka sesuatu projek, kerjasama berpasukan turut diterapkan yang setentunya amat berguna untuk mereka dewasa kelak. Oleh itu, projek kali ini akan membawa awda bersama anak-anak mengikuti projek mereka ‘fosil’ yang diperbuat daripada campuran kulit telur bagi meniru rupa batu endapan.

    Persediaan awal perlu

    Sebelum memulakan projek rekaan, sediakan lebih awal barangan seperti modelling clay (bukan jenis mengeras), alat mengukir, minyak atau vaselin, liquid latex, tepung kanji, lesung dan alu, kulit telur, gelatin, air, garam gliserin, berus, bekas untuk menyimpan campuran, periuk, sudu, alas kerja dan gambar dinosaur bercetak.

    Reka projek bersama

    Tanah liat yang tersedia terlebih dahulu dipotong dengan bentuk segi empat yang akan dijadikan sebagai asas rekaan.

    Setelah membentuknya, gunakan alat pengukir untuk melakar garis bentuk rangka tulang dinosaur pilihan. Bagi memudahkan proses melakarnya, pilih gambar bersesuaian dan cetak pada sekeping kertas sebagai panduan ketika melakarnya pada permukaan tanah liat. Ukurannya pula perlu sesuai dengan saiz yang diperlukan untuk mengisi sesebuah ruangan.

    Proses menyapukan liquid latex pada keseluruhan permukaan modelling clay.
    Gelatin yang telah dicampurkan dengan kulit telur yang telah dihancurkan.
    Liquid latex yang telah mengering dan ditanggalkan daripada modelling clay.
    Langkah membentuk modelling clay sebagai bentuk acuan utama rekaan.

    Setelah melakarkan rangka dinosaur pada permukaan tanah liat, langkah seterusnya ialah menjadikan rangka dinosaur timbul dari permukaan tapak asas. Caranya ialah dengan menggulung tanah liat menjadi bulat sesuai dengan ukuran tulang dinosaur yang dilakar pada permukaan rekaan. Setiap gelungan tanah liat kemudiannya akan dipotong menggunakan pisau utiliti dan diletakkan pada lakaran yang telah dibuat.

    Semasa meletakkan potongan kecil gelungan tanah liat, pastikan awda menekannya agar melekat pada permukaan tanah liat. Selain dengan cara menekannya, awda juga boleh menggunakan alat pengukir dengan bahagian hujung yang bersesuaian (rata) untuk membolehkan awda mengakses ruangan yang terlalu rapat antara bentuk tulang. Bagi bahagian yang dirasakan sukar untuk direka secara bebas seperti tengkorak, awda boleh meletakkan tanah liat pada permukaan kertas yang dicetak bagi mendapatkan bentuk luarannya yang kemudiannya dihalusi lagi bentuknya menggunakan alat pengukir.

    Lakaran yang telah siap, yang akan dijadikan sebagai pembentuk acuan pada langkah seterusnya akan disapukan menggunakan vaselin pada keseluruhan permukaannya. Tujuannya disapukan adalah bagi memastikan liquid latex yang akan disapukan dan mengering pada permukaannya nanti tidak melekat.

    Menggunakan span atau berus, sapu perlahan liquid latex pada permukaan tanah liat dengan memastikan ia memasuki kesemua rongga atau rekahan yang direka.

    Beberapa lapisan liquid latex akan disapukan pada permukaan rekaan dengan memastikan setiap lapisan mengering terlebih dahulu sebelum menyapukan lapisan seterusnya. Langkah ini akan dilakukan sehingga keseluruhan permukaan ditutupi dengan lapisan yang tebal. Setelah pasti ia mencukupi, biarkan acuan mengering lebih kurang 24 jam sebelum beralih ke langkah seterusnya.

    Apabila mengering, taburkan permukaan lateks dengan tepung kanji agar ia tidak melekat.

    Selain permukaan acuan, dalamannya juga perlu ditaburkan tepung kanji dalam jumlah yang sedikit sebagai persediaan sebelum campuran gelatin dan kulit telur dituangkan.

    Kulit-kulit telur yang telah disediakan akan dihancurkan dan kemudiannya akan direbus bersama baking soda dan garam untuk memastikan ia bersih daripada pencemaran mahupun jangkitan mikroorganisma. Setelah merebusnya, biarkan ia mengering. Bagi mempercepatkan proses pengeringan, awda boleh menggunakan pengering rambut sambil mengacaukannya menggunakan senduk kecil.

    Kulit telur yang telah mengering kemudiannya akan dikisar menjadi serbuk menggunakan lesung dan alu. Tumbuk halus kulit telur bagi memastikan ia mampu melepasi penapis teh.

    Serbuk kulit telur yang dihasilkan kemudiannya akan ditapis bagi mengasingkan kulit telur ukuran besar yang perlu ditumbuk semula menjadi halus.

    Langkah seterunya memerlukan awda untuk mencampurkan gelatin dan air suam dan kacau sehingga sebati.

    Berikan masa beberapa minit untuk gelatin tersebut menyerap air menjadikannya mudah untuk larut apabila dipanaskan nanti. Setelah itu, panaskan campuran pada dapur menggunakan api kecil dan kacau sehingga gelatin larut dalam air.

    Untuk mengetahuinya, rasa menggunakan senduk pengacau di mana ketulan gelatin tidak lagi dirasakan. Pastikan api digunakan tidak terlalu kuat sehingga mendidih kerana ia akan menyebabkan campuran tidak menjadi kental. Sebanyak 20g gelatin dan 50ml air diperlukan bagi campuran berkenaan.

    Setelah larut, matikan api dan campurkan 100g serbuk kulit telur, satu sudu teh garam dan gliserin dan kacau sehingga sebati. Campuran berkenaan kemudiannya akan dituangkan ke dalam acuan yang telah ditaburkan dengan kanji pada permukaannya. Biarkan campuran sejuk selama 24 jam dan secara berhati-hati, tanggalkannya daripada acuan untuk mendedahkan rekaan. Dengan langkah terakhir ini, fosil rangka dinosaur terbuat daripada kulit telur kini boleh dikongsi cara pembuatannya bersama keluarga mahupun rakan-rakan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...