Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Delegasi Kem. Pendidikan dengar pengalaman pelajar Brunei di Singapura

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Delegasi Kementerian Pendidikan yang kini berada di Republik Singapura bagi lawatan kerja telah mengadakan majlis ramah mesra bersama pelajar-pelajar Negara Brunei Darussalam yang menuntut di negara tersebut, hari ini.

    Majlis berkenaan merupakan salah satu aktiviti yang telah disusun dalam atur cara lawatan kerja delegasi yang telah bermula 28 September lalu.

    Semasa majlis itu, Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad, selaku ketua delegasi telah menyampaikan nasihat kepada pelajar untuk sentiasa memberikan fokus kepada pelajaran di samping memanfaatkan segala peluang yang ada semasa menjalani pengajian di negara itu.

    Delegasi berkesempatan untuk berinteraksi dengan para pelajar dan mendengar pengalaman mereka sepanjang menuntut di Singapura.

    Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Singapura, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Sidek bin Haji Ali.

    Seramai 17 orang pelajar berdaftar dengan Kementerian Pendidikan sedang menjalani pengajian di Singapura dari peringkat menengah hingga pengajian tinggi.

    Delegasi terdiri daripada Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan, Jabatan Pengurusan Biasiswa, Awang Julaihi bin Mohamad; Pemangku Pengarah Sekolah-Sekolah, Dayang Nor Asurah binti Haji Meluddin; Ketua Pusat Perkembangan Pendidikan Cerdas Pintar dan Berbakat (EDGE), Dr Mona Aliana binti Dato Paduka Haji Alimin; dan Pemangku Penolong Pengarah, Pejabat Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Haji Mohd Fadzillah bin Haji Abdullah. Turut serta ialah Atase Pendidikan, Awang Sophan bin Afandi.

    Delegasi bergambar ramai bersama sebahagian pelajar yang sedang menjalani pengajian di Singapura. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...