Sunday, May 19, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Dialog teroka kaedah kukuhkan kerjasama Brunei-Bangladesh

    DHAKA, 16 OKT – Semasa Keberangkatan Negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Republik Rakyat Bangladesh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah telah menghadiri Dialog Keusahawanan serta menyaksikan majlis penandatanganan memorandum persefahaman (MOU) dan majlis pelancaran bagi produk-produk brunei-halalfoods.

    Turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dan Setiausaha Tetap (Ekonomi, Pedagangan dan Industri) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan JPM, dalam Dialog Keusahawanan tersebut, perbincangan tertumpu kepada menerokai kaedah-kaedah untuk mengukuhkan kerjasama dua hala dalam bidang perdagangan dan ekonomi antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat Bangladesh bagi beberapa sektor seperti perniagaan, kewangan, industri pemakanan, dan sektor pemakanan halal.

    Dialog juga dihadiri oleh Menteri Perdagangan Republik Rakyat Bangladesh, Tuan Yang Terutama Tipu Munshi dan Penasihat Perdana Menteri mengenai Industri Swasta dan Pelaburan, TYT Salman F Rahman, serta ahli-ahli daripada beberapa dewan perdagangan di Bangladesh termasuk Federation of Bangladesh Chambers of Commerce and Industry (FBCCI); Dhaka Chamber of Commerce and Industry (DCCI) dan the Metropolitan Chamber of Commerce and Industry (MCCI).

    Selepas Dialog Keusahawanan tersebut, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew seterusnya menyaksikan majlis penandatanganan MoU antara Ghanim International Corporation Sdn Bhd dan Zes Trading.

    Menandatangani bagi pihak Ghanim International Co-operation ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Nur Rahman, manakala Pengerusi Vorerpata Group of Industries dan Pengarah FBCCI, Dr Kazi Ertaza Hassn menandatangani bagi pihak Zes Trading.

    MoU antara lain bertujuan untuk memperkembangkan kerjasama antara kedua-dua buah syarikat, melalui pengedaran dan penjualan produk-produk bruneihalalfoods di Bangladesh. Selesai majlis penandatanganan tersebut, Yang Berhormat Dato menghadiri majlis pelancaran produk-produk bruneihalalfoods.

    Turut hadir ialah beberapa menteri kabinet Republik Rakyat Bangladesh iaitu TYT Tipu Munshi; Menteri Hal Ehwal Agama, TYT Md Faridul Haq Khan; Menteri Luar, TYT Abul Kalam Abdul Momen; dan Menteri Perikanan dan Ternakan Bangladesh, TYT SM Rezaul Karim.

    Juga hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik Rakyat Bangladesh, TYT Haji Haris bin Haji Othman.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...