Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Doa Alif Satar depan Kaabah makbul

    Penyanyi dan pelakon Alif Satar meluahkan rasa syukur apabila doa untuk melihat ibu bapanya menunaikan ibadah haji termakbul.

    Alif yang sebelum ini pernah ke Tanah Suci Mekah menunaikan ibadah umrah memohon agar dapat kembali ke sana pada musim haji namun berharap agar ibu bapanya iaitu Nor Hafiza Muhammed dan Mohd Satar Ramli dijemput terlebih dahulu bagi mengerjakan rukun Islam kelima itu.

    “Pernah dahulu waktu umrah, saya berdoa di bawah pancur emas Kaabah memohon agar saya dapat kembali ke sini (Mekah) pada musim haji, namun biarlah ibu bapa saya yang mengerjakannya dahulu.

    “Allah Maha Mendengar segala permintaan hambaNya dan aturan Dia pasti yang terbaik. Hari ini Allah makbulkan satu lagi doa saya. Alhamdulillah,” katanya.

    Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar, 32, berkongsi kegembiraan menghantar ibu bapanya berangkat ke Tanah Suci dalam satu hantaran dalam akaun Instagram miliknya kelmarin.

    Sementara itu, Alif turut memberitahu dia pernah menerima panggilan untuk mengerjakan ibadah tersebut sebelum ini namun tidak berkesempatan untuk ke sana.

    “Dua tahun berturut-turut sebelum ini saya dapat jemputan menunaikan haji, tetapi dua kali juga saya tidak dapat pergi atas beberapa sebab yang tidak boleh dielakkan.

    “Perasaan sedih itu susah untuk digambarkan,” ujarnya.

    Dalam masa sama, Alif juga memohon semoga perjalanan ibu bapanya ke sana dipermudahkan dan kedua-dua mereka dapat mengerjakan ibadah dengan sempurna. – Agensi

    Alif luah rasa syukur dapat melihat ibu bapa menunaikan ibadah Haji. – Agensi
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...