Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Dokumentasi muzik seruling daun

    KEMBOJA – Pada 4 Ogos lalu, sebuah pasukan dari Jabatan Seni Persembahan di bawah Kementerian Kebudayaan dan Seni Halus telah merakamkan pemuzik seruling daun Chhorn Sam Ath, salah seorang daripada segelintir ahli muzik yang masih boleh membunyikan daun untuk membuat muzik.

    Penggambaran itu dijalankan untuk mendokumentasikan alat muzik Kemboja unik yang diperbuat daripada daun untuk tujuan penyelidikan dan generasi akan datang.

    Menurut pengkaji, seruling daun merupakan alat tradisional yang dimainkan oleh masyarakat di kawasan luar bandar sebagai hiburan dan juga oleh pemandu gajah (mahout) atau pendaki yang menggunakannya untuk menarik perhatian haiwan seperti rusa atau gajah.

    Menyatakan sokongannya terhadap kompilasi alat muzik daun Sam Ath, Chhieng Chhordapheak, timbalan pengarah Jabatan Seni Persembahan, berkata komposisi dan pemeliharaan bentuk seni yang jarang ditemui adalah perlu, bermula dengan beberapa sumber yang tinggal.

    “Oleh kerana tidak banyak dokumentasi mengenai alat muzik ini dan orang yang mempunyai kemahiran bermain alat muzik yang jarang ditemui ini, sangat sedikit orang yang tahu cara memainkannya sekarang,” kata Chhordapheak kepada The Post.

    Chhorn Sam Ath memainkan seruling daun yang juga dikenali sebagai Phlom Slek. – ANN/The Phnom Penh Post

    Selepas menyedari Sam Ath tahu cara bermain seruling, pasukan Chhordapheak di jabatan itu bersedia untuk membuat penggambaran dokumentari, yang sedang dilakukan sebagai asas untuk penyelidikan lanjut mengenai alat muzik itu.

    Sam Ath, seorang pesara penjawat awam berusia 63 tahun, pernah bekerja sebagai pembantu di kementerian tempat dia bertugas sejak 1979, tetapi di unit tarian tradisional Jabatan Seni Persembahan.

    Sam Ath dilahirkan di kampung Koh Chen di daerah Ponhea Leu, wilayah Kandal. Bapanya juga seorang pemuzik di daerah itu dan kini menetap di Phnom Penh. Sam Ath ialah adik bongsu Profesor Pich Tum Krovil (nama sebenarnya Chhorn Torth) yang dilahirkan pada tahun 1943.

    Tum Krovil adalah seorang sarjana kesusasteraan Khmer Kemboja dan salah seorang artis persembahan paling terkenal di negara berkenaan.

    Dia berlakon dalam teater seni pada akhir 1960an dan membantu menghidupkan semula beberapa persembahan selepas kejatuhan rejim Khmer Rouge.

    Sam Ath ialah artis veteran dengan pelbagai bakat seni kerana dia pernah menjadi penari rakyat, pelakon Lakhon Bassac dan Lakhon Yike serta pemuzik seruling dan seruling daun selama lebih empat dekad.

    Dalam temu bual dengan The Post, Sam Ath berkongsi bahawa dia belajar tarian antara 1972 dan 1973, menjadi yang termuda lulus peperiksaan Lakhon Bassac pada usia 15 tahun pada 1973.

    “Pada masa itu, saya berlakon sebagai pelawak dalam Bassac dan Yike. Saya berlakon sebagai Mean Nguon dalam Tumteav dan Phyanoy dalam Mak Theung,” katanya.

    Dari tahun 1981 hingga 1982, Sam Ath belajar bermain seruling, diikuti seruling daun, walaupun dia belum mahir lagi. Jadi, dia bekerja sebagai penari rakyat atau penari tradisional yang mempersembahkan Robam Kngork (tarian burung merak), tarian Kohtralaok dan tarian Chhai Yam.

    “Tidak sampai tahun 1995, saya mula bermain seruling daun secara professional sehingga hari ini. Saya juga seorang penari tradisional di Jabatan Seni Persembahan, di mana saya mempersembahkan tarian merak, tarian perkusi dan tarian chaiyam,” katanya.

    Sam Ath juga mengajar generasi muda cara bermain seruling di Universiti Seni Halus Diraja.

    “Pada masa lalu, saya pernah mengajar pelajar di Sekolah Seni Halus, tetapi mereka sukar untuk menguasai seni muzik daun.

    “Hampir tiada pelajar berminat untuk mempelajarinya malah ketika kami membuka pendaftaran, tiada sesiapa yang berminat untuk menyertainya,” katanya.

    Teknik meniup seruling daun memerlukan seseorang meletakkan daun di antara bibir dan meniupnya secara kuat untuk mengeluarkan bunyi.

    Terdapat juga beberapa jenis daun yang digunakan sebagai alat muzik dan menghasilkan bunyi yang baik.

    “Seruling daun boleh memainkan semua jenis lagu dari zaman dahulu. Ia hanya bergantung kepada teknik seruling daun untuk menghasilkan lagu itu,” kata Sam Ath sambil menambah jika daun itu keras sukar untuk ditiup atau membuat muzik.

    “Dari pengalaman saya, daun yang menghasilkan bunyi yang berkualiti ialah daun Rumduol, Chrey dan Lumpong (serupa dengan daun Sangke).”

    Sementara itu, beliau berkongsi, tiada dokumentasi yang betul mengenai asal usul seni seruling daun, memandangkan ia telah diwarisi daripada satu generasi ke satu generasi.

    Dia mendapati bahawa melodi muzik mempunyai perasaan melankolik atau romantis, yang sering menggemakan sentimen pemuzik.

    “Alat ini sering dimainkan untuk meluangkan masa di sawah oleh sekumpulan mahout atau pendaki untuk menarik perhatian haiwan,” kata Sam Ath.

    Prihatin tentang seni seruling daun yang semakin pupus dan setelah melihat video pemain seruling daun yang hebat di kawasan luar bandar di wilayah Kemboja di media sosial, dia meminta institusi berkaitan menghubungi mereka dan menggerakkan sumber bagi mereka yang pakar dalam alat muzik itu.

    “Selain seronok melihat Jabatan Seni Persembahan menganjurkan sebuah dokumentari mengenai saya, saya berharap ia juga akan menyokong dan memfilemkan orang yang tahu memainkan seruling daun untuk generasi akan datang,” katanya. – ANN/The Phonm Penh Post

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...