Saturday, May 18, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Dua peserta wakili negara ke majlis tilawah

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) hari ini menghantar dua orang wakil qari dan qariah, Awang Mohammad bin Ali dan Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki untuk menyertai Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-62 Tahun 1444H/2022M, yang akan berlangsung pada 19 hingga 24 Oktober ini di Kuala Lumpur, Malaysia.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar ialah Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, dan Timbalan Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.

    Turut menyertai rombongan ialah Haji Muhammad Termizi bin Haji Mahmood selaku pembimbing bahagian tajwid dan fasahah serta Haji Mohd Zainul Ariffin bin Haji Ridwan Lubis selaku pengurus rombongan dan guru pembimbing bahagian lagu dan suara.

    Awang Mohammad dan Dayangku Siti Ummi Syazana merupakan johan qari dan qariah Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1441H/ 2020M dan akan mewakili negara buat pertama kali ke majlis tilawah tersebut pada tahun ini.

    Selama lebih 50 tahun, Negara Brunei Darussalam telah menghantar wakil negara bagi menyertai Majlis Tilawah Al-Quran dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur, Malaysia dan majlis pada tahun ini merupakan kali ke- 62 ia diadakan.

    Haji Mohammad Rosli dan Haji Mohd Serudin hadir bagi mengucapkan selamat belayar kepada Awang Mohammad dan Dayangku Siti Ummi Syazana di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...