Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Dua produk Lianhua Qingwen bukan khusus rawat COVID

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MEI – Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini, telah memberikan penjelasan mengenai produk Lianhua Qingwen dan Lianhua Qingwen Jiaonang yang didakwa di laman media sosial boleh mencegah dan merawat jangkitan COVID.

    Kenyataan menjelaskan, produk yang dikilangkan oleh Shijanzhuang Yiling Pharmaceutical, China itu mengandungi Ephedra atau dikenali Cao Ma Huang, E. mahuang Liu atau Zhong Ma Huang.

    Ephedra adalah sejenis tumbuhan herba yang antaranya mengandungi bahan alkaloid seperti ephedrine dan pseudoephedrine.

    Pihak kementerian menegaskan bahawa penggunaan bahan kandungan ini dengan berterusan tanpa nasihat dan pengawasan daripada pengamal perubatan yang berdaftar boleh mendatangkan kesan sampingan terhadap kesihatan pihak pengguna.

    Selain itu, penggunaan ephedrine tanpa pengawasan dan berterusan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan seperti rasa gelisah, sakit kepala, susah tidur (insomnia), loya, peningkatan tekanan darah, denyutan jantung tidak menentu dan serangan jantung.

    Pihak berkuasa penyelia ubat-ubatan dari negara jiran telah pun menyenaraikan beberapa jenis produk Lianhua Qingwen sebagai ubat tradisional Cina bagi penggunaan untuk melegakan gejala atau simptom selesema dan flu sahaja dan bukan khusus untuk mencegah dan merawat COVID.

    Kementerian Kesihatan memerlukan mana-mana produk yang didakwa boleh merawat COVID mempunyai bukti saintifik daripada kajian klinikal untuk membuktikan bahawa produk tersebut adalah selamat dan berkesan terhadap COVID.

    Di samping itu, dokumen-dokumen produk yang lengkap juga mestilah terlebih dahulu dihadapkan kepada Kementerian Kesihatan untuk dinilai dan didaftarkan sebelum ia boleh dibekalkan di Negara Brunei Darussalam.

    Kementerian Kesihatan setakat ini tidak ada mengeluarkan kebenaran atau pendaftaran bagi produk-produk tersebut bagi kegunaan mencegah, melindungi atau merawat penyakit COVID termasuk produk Lianhua Qingwen.

    Sehubungan itu, pihak kementerian menasihatkan orang ramai untuk berwaspada agar jangan mudah terpedaya membeli produk suplemen kesihatan dan produk ubat-ubatan dengan iklan dan promosi yang berlebihan di laman media sosial yang tidak diketahui kesahihannya.

    Pihak pembekal dan penjual juga diingatkan supaya tidak membuat sebarang dakwaan palsu atau mengelirukan bahawa produk yang dijual boleh mencegah, melindungi atau merawat penyakit seperti COVID.

    Sekiranya mereka membuat tuntutan palsu atau mengelirukan, mereka boleh didenda tidak melebihi $5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    Untuk maklumat dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Komplians dan Perlesenan di talian 2393301 atau 2393230 sambungan 208 selain menghubungi Talian Darussalam 123.

    Orang ramai juga menghantar e-mel ke pharmacy.enforcement@moh.gov.bn atau menghantar di alamat Tingkat 1, Bahagian Komplians dan Perlesenan, Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong A.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...