Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Ernie intai karier di Indonesia

    Setelah berjaya mencipta nama dan pengaruh tersendiri dalam industri muzik tanah air, penyanyi Ernie Zakri mengakui menyimpan hasrat untuk mengembangkan kerjaya lebih meluas ke negara serantau.

    Hasrat tersebut menjadi kenyataan apabila pemilik nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri itu berpeluang tampil berkolaborasi dengan band popular dari Indonesia, Govinda menerusi lagu rakaman semula, Hal Hebat.

    Lagu ciptaan Ade Nurulianto yang juga gitaris band tersebut merupakan single paling hit pernah dinyanyikan oleh Govinda dengan jumlah tontonan menghampiri 20 juta sejak pelancarannya kira-kira dua tahun lalu.

    “Sebenarnya perancangan untuk melebarkan sayap ke Indonesia itu sudah lama ada, namun disebabkan pandemik COVID melanda, niat itu tertangguh seketika.

    “Dalam masa sama, ketika itu lagu Hal Hebat nyanyian Govinda sangat popular di TikTok dan menarik perhatian saya.

    Ernie Zakri mengakui menyimpan hasrat untuk mengembangkan kerjaya lebih meluas ke negara serantau. – Agensi

    “Jadi apabila syarikat rakaman mencadangkan projek kolaborasi dengan mereka, saya sangat berbesar hati dan menganggap ia sebagai peluang terbaik memasuki pasaran Indonesia,” ujar Ernie ketika majlis sidang akhbar single tersebut bersama kumpulan Govinda baru-baru ini.

    Percaturan tersebut nyata berhasil apabila Hal Hebat yang dinyanyikan semula secara duet oleh Ernie dan Govinda mendapat sambutan luar biasa, sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk mengembangkan kerjaya ke pasaran luar.

    “Alhamdulillah sambutan luar biasa terhadap lagu itu membawa saya ke Indonesia bertemu dengan peminat di sana, selain memenuhi pelbagai undangan promosi dan persembahan.

    “Dalam rangka promosi itu saya sempat ke Jakarta dan Bandung. Ketika di sana saya perlu memenuhi jemputan tujuh hingga lapan buah stesen radio dalam masa sehari.

    “Banyak maklum balas positif yang kami terima dan tentunya saya bersedia untuk ke sana sekali lagi untuk menyambung rangka promosi single tersebut,” jelasnya yang teruja menimba pengalaman baharu.

    Dalam masa sama, penyanyi Ku Bersuara itu tidak menolak kemungkinan untuk tampil dengan karya baharu bagi meluaskan pengaruhnya di Indonesia pada masa akan datang.

    Akui Ernie, 30, perancangan tersebut masih di peringkat awal, apatah lagi dia kini masih mencari-cari karya terbaik untuk diketengahkan.

    “Saya ada berkongsi hasrat tersebut dengan anggota Govinda, yang juga komposer terkenal, Ade, dengan meminta lagu ciptaannya.

    “Kami masih dalam proses perbincangan dan melihat karya bagaimana yang sesuai dengan saya kerana kebanyakan lagu-lagu ciptaannya kedengaran agak matang.

    “Pada usia sekarang, saya memang lebih tertarik dengan karya-karya sebegitu dan berharap ada karya bersesuaian daripada Ade untuk saya,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...