Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Fakulti baharu diharap kembangkan peradaban Islam

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 FEB – Dengan penubuhan fakulti baharu iaitu Fakulti Pendidikan Sains Kemasyarakatan di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) diharap akan berfungsi untuk membuat penyelidikan, mengembangkan sukatan pelajaran dan pedagogi yang berkaitan dengan kemasyarakatan seperti sejarah Islam, pendidikan kesihatan, peradaban dan lain-lain.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah sedemikian semasa berkenan berangkat ke Majlis Konvokesyen KUPU SB ke-11 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, pagi tadi.

    “Beta melihat KUPU SB sangat berkaitan dengan banyak keperluan semasa. Sejak penggubalan kurikulum beberapa tahun yang lalu, KUPU SB sudah menawarkan pelbagai kursus minor sebagai nilai tambah bagi pengalaman dan pasaran kerjaya graduannya.

    “Demikian juga KUPU SB telah menjadikan sejarah Islam sebagai subjek teras bagi program sarjana muda dan diploma tertinggi perguruan agama.

    “Langkah ini diambil adalah sebagai respons spontan terhadap titah Beta semasa Majlis Mengadap Hari Keputeraan pada tahun 2018, yang menyarankan supaya mata pelajaran Sejarah Islam itu dijadikan sebagai mata pelajaran wajib di semua institusi pengajian. Tahniah KUPU SB,” titah Baginda.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menyempurnakan pengurniaan ijazah kepada salah seorang graduan KUPU SB pada Majlis Konvokesyen KUPU SB ke-11 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, kelmarin.
    Baginda Sultan ketika berkenan mengurniakan titah pada Majlis Konvokesyen KUPU SB ke-11.

    Baginda turut melahirkan ke-gembiraan apabila mengikuti langkah-langkah kemasyarakatan KUPU SB seperti mengadakan program-program kerohanian dan intelek dan menganjurkan jerayawara Menghalusi Sembahyang menurut Mazhab As-Syafie yang melibatkan sehingga lebih kurang 1,500 guru yang bukan mengajar subjek Pengetahuan Ugama Islam di Kementerian Pendidikan, menganjurkan kursus Training for Trainers untuk guru bagi kemahiran mengajar Al-Quran, menganjurkan Seminar Kebangsaan Pendidikan MIB, mengadakan Bengkel Pemantapan Daie dan lain-lain yang mana semuanya adalah projek ilmu yang bermanfaat. 

    “Dari sudut antarabangsa pula, Beta mengambil maklum bahawa KUPU SB adalah semakin menyerlah di kalangan universiti-universiti mahupun individu yang berminat dalam bidang pendidikan.

    “Beberapa seminar antarabangsa secara maya dan  kesepakatan membuat kajian bersama di antara KUPU SB dengan universiti luar ne-gara juga pernah diadakan.

    “Sementara pada tahun ini, KUPU SB terus melangkah ke hadapan menawarkan biasiswa Brunei Darussalam Government Scholarship for Foreign Students kepada calon-calon yang berkelayakan di peringkat serantau dan antarabangsa,” titah Baginda lagi.

    Apabila ini diteroka, titah Baginda, bererti KUPU SB telah mengembangkan sayapnya sehingga ke arena antarabangsa. Terdahulu, Baginda turut menekankan bahawa sifat dedikasi perlu ada pada diri setiap graduan, guru dan ibu bapa kerana ia adalah antara ciri utama untuk meraih kejayaan dan keberkesanan dalam pendidikan. 

    Para graduan juga perlu untuk mengamalkan pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh dari pusat pengajian untuk menyebarkannya kepada masyarakat. 

    “Pengalaman dan pengetahuan yang sentiasa dipupuk dan diamalkan itulah sebenar-benarnya matlamat pengajian,” tekan Baginda.

    Semasa bertitah, Baginda turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada graduan atas kejayaan mereka menamatkan kursus dan pengajian masing-masing.

    Baginda juga merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua warga KUPU SB, terutama kepada pengerusi dan ahli-ahli majlis KUPU SB dan senat, raes, pegawai-pegawai utama, ahli-ahli akademik serta kakitangan atas jasa dan khidmat yang disumbangkan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...