Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Fenomena alam bukti keagungan Yang Maha Esa

    Oleh Salawati Haji Yahya

    Keindahan flora dan fauna, pertukaran siang dan malam hinggalah fenomena alam seperti gerhana semuanya dapat membuktikan kebesaran Allah SWT dalam mencipta alam dan makhlukNya.

    Sebagai hambaNya yang lemah, akal seolah-olah tidak berfungsi seketika tatkala terpesona menyaksikan semua ciptaanNya yang indah itu dan di samping itu juga dapat meningkatkan keimanan kita kepadaNya.

    Fenomena gerhana bulan penuh yang berlaku baru-baru ini, telah menunjukkan kekuasaan Allah SWT yang mengerakkan peredaran bulan dan matahari yang teratur setiap hari secara berganti-ganti atas kudrat dan iradahNya yang setentunya mempunyai hikmah dan tujuan tersendiri.

    Dalam mengagungkan dan mengagumi kebesaran Allah SWT, orang ramai tidak melepaskan peluang datang berpusu-pusu ke kawasan lapang depan Bangunan Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), untuk menyaksikan sendiri fenomena gerhana bulan penuh berkenaan.

    Pemangku Pengarah BKISHHB, Dr Haji Mohammad Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad ketika ditemui penulis, berkongsi dari perspektif Islam, fenomena gerhana juga berlaku pada zaman Rasulullah SAW iaitu ketika anak Baginda bernama Ibrahim wafat.

    Orang ramai tidak melepaskan peluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh tersebut.
    Awang Husaini ketika ditemui penulis baru-baru ini.
    Dr Haji Mohammad Hussain menyatakan dari perspektif Islam, fenomena gerhana juga berlaku pada zaman Rasulullah SAW.
    Dalam keterujaan melihat fenomena gerhana bulan penuh itu, selaku umat Islam dianjurkan melakukan perkara-perkara berkebajikan seperti berdoa, berzikir, menunaikan solat sunat dan sebagainya.

    Pada masa itu masyarakat Arab jahiliah menganggap berlakunya gerhana berkenaan disebabkan wafatnya anak Baginda.

    Dalam perkara ini, Rasulullah SAW telah membetulkan persepsi dan akidah dengan hadis untuk menghuraikan lebih lanjut berkaitan dengan berlakunya gerhana tersebut.

    Media Permata turut berkesempatan menemu bual ahli Eksekutif Biasa, Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam, Awang Husaini bin Ali Hassan, yang mengongsikan kejadian gerhana bulan penuh ini terjadi disebabkan kedudukan matahari, bumi dan bulan berada pada satu garis lurus.

    “Fenomena tersebut berlaku apabila cahaya matahari tidak sampai ke bulan kerana terhalang oleh bumi dan gerhana bulan ini wujud ketika bulan melalui sebahagian dari bayang-bayang bumi.

    “Terjadinya gerhana bulan ini ketika waktu bulan purnama dan matahari, bumi dan bulan sejajar pada satu barisan yang sama atau sangat-sangat dekat, dan jenis serta panjang gerhana bulan bergantung pada kedudukan bulan yang relatif kepada node orbit,” jelasnya.

    Fenomena gerhana bulan ini pernah berlaku di negara ini dengan beberapa jenis gerhana yang lain seperti gerhana bulan separa, gerhana matahari penuh dan gerhana matahari separa.

    Tambah beliau, semasa berlaku gerhana bulan penuh ini, turut dapat menyaksikan planet Musytari, Zuhal dan juga Uranus yang berdekatan dengan bulan pada masa itu.

    “Fenomena gerhana bulan penuh ini bukan sahaja dapat disaksikan menggunakan teleskop atau teropong malah ianya boleh dilihat terus dengan mata kasar kerana ia tidak membahayakan pada diri kita,” jelasnya.

    Dalam keterujaan melihat fenomena gerhana bulan penuh itu, selaku umat Islam dianjurkan melakukan perkara-perkara berkebajikan seperti berdoa, berzikir, menunaikan solat sunat dan sebagainya. Fenomena gerhana seterusnya akan berlaku pada 20 April 2023 iaitu annular atau total solar.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...