Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Fesyen Nabil jadi ikutan

    Ketika artis menjadi ‘role model’ dianggap tidak relevan, pengacara popular, Nabil Ahmad berusaha mengembalikan kepercayaan dengan cara tersendiri.

    Nabil berkata, sebelum ini pembabitannya dalam bidang seni lebih menjurus kepada mengejar wang ringgit dan populariti, kini ‘nawaitu’ sudah berubah.

    “Ketika mula menceburi bidang seni, fikiran saya untuk berhibur, mengejar nama dan wang ringgit.

    “Memang tak terfikir langsung soal mengejar pahala. Namun, sekarang, perasaan mencari pahala lebih banyak dan ia terbit secara semula jadi dalam hati.

    “Disebabkan itu, dalam apa juga yang dilakukan, niat saya biarlah ia mampu memberi manfaat kepada orang lain.

    Nabil berkata, dia tidak menjangka penampilannya memakai topi ‘beanie’ mendapat perhatian peminat. – Agensi

    “Jika ada ganjaran pahala di sebalik perbuatan, saya amat bersyukur,” katanya kepada media. Penjelasan diberi pemilik nama lengkap Ahmad Nabil Ahmad, 39, itu secara tidak langsung menjawab tanda-tanya kemunculannya mengenakan topi berbentuk kopiah yang digayakan ketika mengacarakan malam kemuncak, Anugerah MeleTOP, tidak lama dahulu.

    Bekas penyandang trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada 2008 itu berkata, dia tidak menjangka penampilannya mendapat perhatian peminat.

    “Topi dipakai sebenarnya adalah ‘beanie’. Memang itulah gaya saya apabila bersama jemaah tabligh.

    “Apabila ada yang suka dengan penampilan saya dan mengaitkannya dengan unsur Islamik serta perlu dijadikan contoh, saya amat bersyukur.

    “Seperti yang dikatakan, jika apa yang dilakukan memberi manfaat dan kebaikan kepada penonton, itu sudah cukup menggembirakan, apatah lagi, perbuatan ini mendatangkan ganjaran pahala,” ungkap artis serba boleh yang dicungkil bakatnya menerusi program realiti, Raja Lawak.

    Sementara itu, sebagai pengarah yang pernah menghasilkan beberapa filem, anak jati Mambau, Negeri Sembilan ini menyatakan keinginan mahu menghasilkan filem pecah-panggung.

    Menjadikan produser filem terkenal tanah air seperti Datuk Yusof Haslam, Datuk Rosyam Nor dan Allahyarham Mamat Khalid sebagai sumber inspirasi, Nabil bagaimanapun tidak mahu terburu-buru, malah, memerlukan masa yang lebih panjang dalam membuat persediaan.

    “Pengalaman menghasilkan beberapa filem sebelum ini menyedarkan saya betapa sukarnya menjadi penerbit.

    “Duit mengalir keluar sangat laju. Pernah berlaku dalam masa sehari saya perlu mengeluarkan wang sebanyak RM700,000 untuk kos penerbitan.” – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...