Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Gagal papar harga, dua premis dikompaun

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan JPES

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 FEB – Dua buah premis perniagaan masing-masingnya telah dikenakan kompaun $500, atas kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan peraturan-peraturan di bawahnya semasa pemeriksaan rutin bulan lalu oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPES di sini, dua buah syarikat berkenaan didapati gagal memaparkan tanda harga pada beberapa barangan yang dijual seperti sayur-sayuran, buah-buahan, susu tepung formula dan susu cair dalam tin.

    JPES telah mengeluarkan sebanyak 16 Notis Amaran kepada 16 buah premis perniagaan pada Januari kerana menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan bagi produk minyak masak dan gagal mematuhi peraturan paparan tanda harga iaitu tidak mempamerkan tanda harga dan memaparkan tanda harga yang mengelirukan.

    Para peniaga diingatkan untuk sentiasa bertanggungjawab dalam menjalankan perniagaan secara beretika dengan mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan peraturan-peraturan di bawahnya dalam usaha bagi membangunkan ekosistem perniagaan domestik yang berdaya tahan.

    JPES juga menggalakkan para pengguna untuk mengoptimumkan penggunaan saluran-saluran rasmi yang telah disediakan dan mudah diakses bagi menyalurkan aduan berkaitan dengan Akta Kawalan Harga, Penggal 142 seperti melalui aplikasi mudah alih PenggunaBijak, hotline Talian Darussalam 123 serta e-mel, aduanpengguna@jpes.gov.bn.

    Orang ramai yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Akta Kawalan Harga, Penggal 142, mereka boleh mendapatkannya melalui aplikasi mudah alih, PenggunaBijak atau laman sesawang JPES, www.deps.gov.bn.

    Pegawai-pegawai dari JPES membuat pemeriksaan ke atas salah sebuah premis perniagaan di Daerah Brunei dan Muara.
    Para peniaga diingatkan untuk sentiasa memaparkan tanda harga ke atas barang jualan.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...