Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Galatasaray ikat Barca, Rangers menang selesa

    PARIS, 11 MAC – Barcelona seri tanpa jaringan menentang Galatasaray pada perlawanan pertama kelompok 16 terakhir Liga Europa di Camp Nou, manakala Rangers mengatasi Red Star Belgrade 3-0.

    Barca kendalian Xavi Hernandez, yang beraksi buat pertama kali di kejohanan kedua tertinggi Eropah itu sejak tahun 2004, menguasai permainan tetapi gagal menemui sasaran.

    Pelawat dari Turki itu sebaliknya hampir memecah kebuntuan namun jaringan Bafetimbi Gomis dibatalkan VAR kerana ofsaid.

    Memphis Depay, yang memulakan perlawanan buat pertama kali sejak Disember, memaksa penjaga gol Galatasaray Inaki Pena bekerja keras dengan dua percubaan di babak pertama.

    Jordi Alba, Ousmane Dembele dan Frenkie de Jong turut mempunyai peluang di pusingan kedua tetapi gawang Galatasaray terlalu kebal buat bintang-bintang Barca itu.

    “Ia amat mengecewakan. Ia bukan keputusan yang baik, bermain di laman sendiri dan menguasai hampir keseluruhan permainan.

    “Ini adalah Eropah, walaupun hanya Liga Europa, dan pasukan-pasukan mempunyai kelebihan tersendiri,” kata Xavi. Skuad kendalian Xavi masih belum tewas dalam tempoh permainan sebenar sejak dikalahkan Bayern Munich pada perlawanan terakhir Liga Juara-Juara Eropah tahun lalu.

    Rangers semakin hampir untuk mara ke suku akhir buat pertama kali sejak tewas pada final Piala UEFA 2008 kepada Zenit Saint Petersburg.

    Skuad kendalian Giovanni van Bronckhorst yang menewaskan Borussia Dormund di pusingan playoff, meneruskan rentak kemenangan dengan menewaskan Red Star di Ibrox.

    Penalti James Tavernier dan gol Alfredo Morelos meletakkan tuan rumah di depan. Pemain tengah pelawat Aleksandar Katai menyaksikan dua golnya dibatalkan dan penaltinya diselamatkan penjaga gol Allan McGregor.

    Juara Scotland itu menambah jaringan menerusi Leon Balogun enam minit selepas rehat. – AFP

    Aksi pemain Galatasaray Marcao (kiri) bersaing mendapatkan bola dengan penyerang Barcelona Ferran Torres dalam perlawanan di antara FC Barcelona dan Galatasaray di stadium Camp Nou di Barcelona pada 10 Mac 2022. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...