Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Gattuso tinggalkan Valencia atas persetujuan bersama

    PARIS, 31 JAN – Valencia mengumumkan kelmarin yang jurulatih Gennaro Gattuso telah meninggalkan kelab itu.

    Kelab itu berkata kedua-dua belah pihak telah membuat keputusan dengan persetujuan bersama untuk menamatkan kontrak.

    Selepas tewas 1-0 kepada Valladolid pada hari Ahad, Valencia berada di tangga ke-14 La Liga, satu mata di atas tempat penyingkiran.

    “Adalah jelas bahawa saya bertanggungjawab atas kekalahan ini,” kata Gattuso pada Ahad selepas kekalahan pasukan tersebut.

    Media Sepanyol berkata bahawa Gattuso kecewa dengan kekurangan aktiviti perpindahan pemain oleh kelab dan bertemu dengan pengurusan tertinggi kelab kelmarin.

    Gattuso, pemain pertahanan yang bermain 73 kali untuk Itali, mula menjadi ketua jurulatih pada 2013 bersama Sion di Switzerland.

    Dia mengendalikan bekas kelab AC Milan selama dua musim dari 2015 hingga 2017, melatih Napoli dari Disember 2019 hingga Mei 2021. Satu-satunya trofi dimenanginya ialah Coppa Italia pada 2020. Dia bersetuju untuk menyertai Fiorentina pada musim panas 2021 tetapi berhenti sebelum memulakan kontraknya selepas pertikaian mengenai polisi perpindahan kelab.

    Gattuso mengambil alih Valencia pada Jun, menggantikan Jose Bordalas yang telah membawa kelab itu ke tempat kesembilan dan final Copa del Rey.

    Valencia berkata bahawa jurulatih lama Voro, yang pernah menjadi pengurus sementara atau bos sementara di kelab itu sebanyak enam kali, akan bertanggungjawab apabila skuad itu menyambung latihan pada hari ini. – AFP

    Gennaro Gattuso bakal meninggalkan kelab Valencia atas persetujuan bersama setelah kelab itu menduduki tempat ke-14. – Agensi
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...