Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Gunung berapi pacu pelancongan ‘La Isla Bonita’

    LA PALMA ISLAND, SEPANYOL – Ketika gunung berapi di La Palma meletus tahun lepas, Teodoro Gonzalez Perez bergegas ke pulau Sepanyol itu untuk melihat aliran lahar dengan matanya sendiri dan kini dia kembali untuk melihatnya sekali lagi.

    Kali ini, dia ke sana untuk melihat gunung berapi secara lebih dekat yang sekarang ini telah sepi.

    “Ia seperti berjalan di atas permukaan planet baharu,” kata jururawat berusia 54 tahun dari pulau Tenerife berhampiran ketika mendaki hutan pain yang subur berkarpet dengan abu hitam untuk sampai ke tapak tersebut.

    “Melawat gunung berapi yang meletus baru-baru ini adalah peluang yang hanya muncul sekali seumur hidup,” katanya kepada AFP.

    Sejak gunung berapi itu meletus pada 19 September 2021, yang memuntahkan cairan lahar dan kepulan abu ke udara, minat orang ramai untuk melawat La Palma semakin membuak.

    Pemilik dan pemandu Graja-Tours, Lotte von Lignau (kanan), bercakap dengan pelancong ketika mereka mengambil bahagian dalam lawatan ke gunung berapi Tajogaite di Los Llanos de Aridane, di Pulau Canary La Palma. – AFP
    Pemandangan dari udara yang menunjukkan kerja-kerja pembinaan jalan di atas lahar, berhampiran Llanos de Aridane. – AFP
    Para pelancong berjalan di laluan di tengah-tengah abu dari letusan gunung berapi Tajogaite. – AFP
    Lahar meliputi sebahagian ladang pisang berdekatan Puerto de Naos di pulau Canary La Palma, setahun selepas letusan gunung berapi Cumbre Vieja. – AFP

    Pulau itu lazimnya merupakan salah satu pulau yang kurang dilawati di Kepulauan Canary yang bergantung kepada pelancongan Sepanyol di luar pantai barat laut Afrika.

    Pada bulan Ogos lalu, purata penyewaan hotel di pulau itu mencecah 90.9 peratus, jauh melebihi jangkaan, dengan pelawat dari seluruh Sepanyol menyumbang sebahagian besar penginapan semalaman, menurut kumpulan lobi hotel tempatan, ASHOTEL.

    “Sebelum letusan, kami bergelut untuk membuat pulau itu dikenali,” kata naib presiden ASHOTEL, Carlos Garcia Sicilia kepada AFP.

    “Di satu pihak, gunung berapi itu telah menjadi satu perkara malang, tamparan hebat kepada ekonomi pulau itu. Sebaliknya, saya fikir separuh penduduk dunia kini telah mendengar tentang La Palma.”

    Walaupun imej yang dipancarkan di seluruh dunia semasa letusan 85 hari tertumpu kepada kemusnahan yang disebabkan oleh gunung berapi, laporan berita juga menyerlahkan daya tarikan pulau kecil itu yang telah membantu membangkitkan minat untuk melancong ke La Palma.

    Digelar ‘La Isla Bonita’ atau ‘Pulau Cantik’, La Palma ialah rizab biosfera yang diiktiraf UNESCO yang penuh de- ngan hutan menghijau, puncak berbatu dan padang pasir.

    Sedekat mungkin
    Sejak letusan itu, bilangan kapal persiaran yang berhenti di pulau itu telah meningkat, begitu juga dengan bilangan penerbangan terus dari tanah besar Sepanyol dan tempat lain di Eropah.

    Syarikat penerbangan tambang rendah Ireland, Ryanair membuka pangkalan pertamanya di La Palma pada Mac dan menawarkan beberapa penerbangan terus setiap minggu ke tiga bandar Sepanyol serta Milan.

    Perniagaan juga berkembang pesat untuk syarikat pelancongan yang menawarkan lawatan sehari dengan feri dari Tenerife, pulau terbesar dan paling banyak dikunjungi di Canaries.

    Excursiones Jesus, yang berpangkalan di Tenerife, menjalankan perkhidmatan lawatan 11 jam dengan bayaran AS$135 di La Palma tiga hari seminggu sekarang, meningkat daripada sebelum letusan.

    “Orang ramai mahu pergi sedekat mungkin dengan tempat letusan berla- ku,” kata pengasas syarikat Jesus Molina kepada AFP.

    Abu dan lahar yang dimuntahkan gunung berapi menelan lebih 1,000 rumah, menjejaskan lebuh raya dan memusnahkan ladang pisang yang subur.

    Pada hujung minggu baru-baru ini, sekumpulan kecil pelancong kelihatan merakam gambar jengkaut yang mengeluarkan ketulan gergasi lahar pejal dari pusat La Laguna, sebuah bandar di mana lahar itu menenggelamkan stesen minyak dan pasar raya.

    Antara yang berpusu-pusu ke pulau itu ialah pelawat tetap, salah seorang daripada mereka ialah Rita Ley, seorang pesara wanita Jerman yang berkata dia ingin melihat rupanya selepas letusan itu.

    “Sangat mengerikan untuk melihat segala-galanya musnah, tetapi ia menarik untuk melihat bagaimana bumi ini hidup,” kata wanita berusia 59 tahun itu.

    Baucar perjalanan
    Kerajaan kini melihat pelancongan sebagai kunci kepada pemulihan ekonomi pulau itu.

    Ia telah membelanjakan banyak untuk mempromosikan perjalanan ke La Palma dan telah memberikan 20,000 baucar perjalanan bernilai 250 euro kepada penduduk Sepanyol yang boleh digunakan di hotel dan restoran di pulau itu.

    Untuk membantu menarik lebih ramai pelancong, pihak berkuasa telah merasmikan zip-line baharu dan pusat pelawat di balai cerap astronomi Roque de los Muchachos. Ia juga membantu memulihkan infrastruktur pelancongan.

    Kira-kira 3,000 daripada 8,000 tem-pat penginapan pelancong La Palma sama ada musnah dalam letusan itu, atau terletak di kawasan yang masih di luar had kerana tahap berbahaya gas gunung berapi, terutamanya di Puerto Naos di pantai barat daya.

    Hawaii dan Iceland menyaksikan peningkatan pelancong yang sama selepas mereka mengalami letusan gunung berapi tetapi minat pengunjung akhirnya berkurangan dan beberapa pengusaha pelancongan di La Palma menjangkakan perkara yang sama akan berlaku.

    Jonas Perez, pengasas Isla Bonita Tours, meramalkan letusan gunung berapi ‘tidak akan segar dalam ingatan orang’ dalam beberapa tahun.

    “La Palma tidak lagi popular,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...