Sunday, April 2, 2023
22.4 C
Brunei

-

Habitat bunga pakma akan diwarta

KUALA BERANG, 30 JAN – Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu akan mewartakan sebahagian Hutan Simpan Tembat, Jenagor dekat sini, dalam usaha memelihara habitat bunga Pakma atau lebih dikenali sebagai Rafflesia.

Pengarahnya, Roslan Rani berkata pihaknya akan mengemukakan kertas kerja berkaitan kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat untuk kajian dan penelitian sewajarnya.

Beliau berkata jika perkara tersebut berjalan lancar, langkah pewartaan tersebut dijangka dapat dilaksanakan pada tahun ini mengikut Seksyen 10 (1) Akta Perhutanan Negara 1984.

“Pewartaan ini bagi memastikan kelestarian habitat dan ekosistem di sekitar bunga Pakma yang istimewa ini kekal terpelihara daripada sebarang aktiviti manusia.

“Kami akan angkat kertas kerja kepada kerajaan negeri dalam sedikit masa lagi dan kalau tidak ada masalah, insya-Allah mungkin (pewartaan) dapat direalisasikan tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Pegawai Hutan Daerah Terengganu Barat, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Mohd Shahril Nizam Mat Ali (kiri) bersama Pengawas Hutan, Mat Shafie Omar memeriksa bunga Pakma atau lebih dikenali sebagai Rafflesia di Hutan Simpan Tembat, Jenagor, baru-baru ini. – Bernama

Roslan berkata bunga Pakma mula ditemui di sekitar Hutan Simpan Tembat pada 2019 dan sejak itu, ia membiak dengan banyak kerana keadaan perumah yang sesuai dengan pertumbuhannya.

Menurut beliau, jenis bunga yang tumbuh di hutan itu adalah daripada spesies Rafflesia Cantleyi, iaitu yang terbesar, cantik serta jarang ditemui.

“Kewujudannya secara semula jadi menarik minat ramai pencinta alam termasuk pendaki yang ingin menyaksikan sendiri bunga Pakma yang biasa hanya ada di Sabah dan Sarawak.

“Bagaimanapun, pengunjung yang ingin masuk ke kawasan Hutan Tembat perlu memohon permit khas daripada pegawai hutan daerah Hulu Terengganu bagi mengelak didakwa kerana menceroboh kawasan hutan simpan,” katanya. – Bernama

Artikel sebelum iniHenti hina kitab suci
Artikel seterusnyaBekas unik asal kayu terbiar
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Hayashi bakal lawat China di tengah-tengah ketegangan

TOKYO, 31 MAC - Menteri Luar Jepun, Yoshimasa Hayashi hari ini berkata beliau akan mengadakan lawatan ke China hujung minggu ini untuk berbincang dengan...
- Advertisment -