Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Haiwan eksotik sebagai binatang kesayangan?

    TICUANTEPE, NICARAGUA – Dengan penuh teliti, Yesenia Talavera memindah seekor katak kecil daripada sepohon pokok, di mana ia sedang tidur, ke dalam bekas plastik dengan lubang untuk bernafas, span basah dan sedikit ruang untuk melompat.

    Dengan lebih daripada 2,600 haiwan lain, daripada labah-labah tarantula kepada ular sawa, haiwan amfibia kecil bermata mewah itu sedang dipersiapkan untuk perjalanan jauh dari Nicaragua ke Amerika Syarikat (AS), di mana ia akan dijadikan haiwan peliharaan seseorang.

    Spesies yang diambil dari hutan tropika di Amerika Tengah, katak, ular, labah-labah, cicak dan penyu sedang dibiak untuk dieksport di Exotic Fauna, sebuah syarikat yang menganggap dirinya sebuah ‘ladang zoo,’ di pinggir bandar ibu negara, Managua.

    Diberikan lesen oleh kerajaan, Exotic Fauna telah membiak 18 spesies haiwan eksotik selama 15 tahun untuk dieksport ke AS, Kanada dan juga Asia.

    Haiwan berkenaan amat popular ‘dalam kalangan orang yang ingin memelihara haiwan selain daripada anjing atau kucing,’ beritahu Talavera, yang menguruskan syarikat itu bersama suaminya Eduardo Lacayo, kepada AFP.

    Seorang pekerja meletakkan labah-labah tarantula Zebra dalam bekas plastik untuk dieksport ke Amerika Syarikat di zoo Exotic Fauna, Managua. – AFP

    Cicak berduri spesies Emerald Swift kelihatan di pusat Exotic Fauna. – AFP

    Tiga ekor sumpah-sumpah ‘Smooth helmeted’ bertenggek di atas sebatang dahan di zoo Exotic Fauna di Managua sebelum dieksport ke AS.

    Talavera dan kumpulan pekerjanya sedang bertungkus-lumus untuk menyiapkan tempahan terbaharu daripada sebuah syarikat di Miami, di mana ia menempah 1,200 ekor katak pokok bermata merah dan katak kaca, 290 ekor cicak basilisk dan pichete, 800 ekor labah-labah termasuk tarantula serta 350 ekor ular sawa spesies boa.

    Kesemua haiwan berkenaan diletakkan dalam bekas dengan lubang pernafasan – ular sawa boa diletak dalam guni kain – sebelum disimpan dalam tong kayu yang bertanda ‘Haiwan Hidup’ sambil diperhatikan oleh pemeriksa kementerian alam sekitar.

    Haiwan tersebut tidak diberi ubat sedatif.

    Haiwan-haiwan berkenaan boleh bertahan perjalanan selama 24 jam dan sehingga tiga hari tanpa makanan, menurut Talavera.

    Penghantaran itu akan menggunakan trak dalam perjalanan ke lapangan terbang antarabangsa Managua, di mana dari sana, selepas menjalani pemeriksaan kastam, seterusnya akan bertolak keesokan harinya dengan menggunakan penerbangan komersial ke Miami.

    Kementerian alam sekitar mem-promosi pembiakan spesies eksotik, menganjurkan sesi latihan dan kongres untuk menggalakkan lebih ramai warga Nicaragua dalam kalangan populasi 6.5 juta untuk menceburi sektor yang menjanjikan pendapatan lumayan ini.

    Menurut kerajaan, hampir 40,000 keluarga Nicaragua telah pun terbabit dalam usaha sama berkenaan di salah sebuah negara paling miskin di Latin Amerika.

    Bagaimanapun, eksport masih diku-asai oleh sebilangan kecil perniagaan swasta.

    Pada tahun 2019, angka rasmi menunjukkan eksport haiwan peliharaan eksotik telah menjana pendapatan berjumlah AS$300,000, walaupun artikel yang disiar dalam surat khabar baru-baru ini menganggarkan nilai tersebut berjumlah lebih dua kali ganda.

    Exotic Fauna berkata di laman webnya bahawa ‘syarikat amat mengambil berat mengenai pembiakan dan pengendalian haiwan berkenaan, dan prosesnya adalah 100 peratus mematuhi protokol antarabangsa mengenai perniagaan hidupan liar.

    Menurut Eduardo Sacasa, presiden zoo negara Nicaragua, asalkan haiwan tidak diambil dari hutan dan dibiakkan di pusat-pusat seperti Exotic Fauna yang mewujudkan semula alam semula jadi untuk haiwan berkenaan, ‘ia tidak membawa kesan teruk.’

    Tambah suami Talavera, Lucaya, “Kami pernah mengambil haiwan dari habitat semula jadi sebelum ini, hanya sekali, dan kami membiak produk yang kami eksport.’

    Namun Pertubuhan People for Ethical Treatment of Animals (PETA), yang menyokong kempen menghentikan perniagaan dalam spesies eksotik, berkata amalan tersebut bersifat kejam dan banyak haiwan peliharaan yang bakal dieksport tidak mungkin bertahan perjalanan yang jauh ke rumah baharu mereka.

    “Haiwan yang berjaya sering kala menderita hidup terkurung dan mati lebih awal akibat pemakanan tak seimbang, persekitaran yang tidak selesa dan bukan bersifat semula jadi, kesunyian serta stres terkurung,” kata PETA di laman sesawangnya.

    Lacayo berkata mereka menjual banyak katak semasa epidemik COVID apabila orang yang menjalani kuarantin berusaha mencari ‘hiburan.’

    Menurut beliau, pelanggan Amerika kebanyakannya berminat untuk menjadikan tarantula sebagai haiwan peliharaan, yang berbisa tetapi tidak berbahaya kepada manusia.

    Untuk membantu katak berkenaan bertahan dalam perjalanan jauh, haiwan itu diberikan makanan tambahan cengkerik, yang juga diternak di ladang tersebut.

    Tarantula diberi makan serangga dan cacing, tetapi ular sawa boa dibiarkan dengan perut kosong.

    Mengenai ular, pekerja Exotic Fauna Harlintong Bonilla menjelaskan, “Kami memberikannya makanan dua atau tiga hari sebelum perjalanan, supaya makanan dapat dihadamkan dengan baik dan ular tidak muntah ketika dalam perjalanan.’ – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...