Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Hampir 200 sertai rumah terbuka Sabre Brunei

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MEI – Sabre Travel Network (Brunei) Sdn Bhd telah menjadi tuan rumah kepada lebih daripada 180 rakan kongsi dan rakan industri pelancongan dalam majlis Rumah Terbuka Hari Raya mereka, yang berlangsung di Dubai Hall, Airport Mall hari ini.

    Majlis yang dianjurkan di bawah naungan Sabre Travel Network Brunei itu turut dihadiri oleh lembaga pengarah syarikat dan pemimpin industri daripada syarikat penerbangan, agensi pelancongan, institusi perbankan, dan syarikat korporat yang berkaitan.

    Pengurus Besar Sabre Travel Network Brunei, Awang Abdul Halim bin Haji Abdul Rahman menyambut baik kehadiran para tetamu ke rumah terbuka tersebut, dan beliau mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan yang kukuh sepanjang tahun.

    “Rumah Terbuka Hari Raya Sabre merupakan satu kejayaan yang besar, dan ini dapat dilihat daripada kehadiran yang menggalakkan dan pujian yang diterima. Sebagai pemain utama dalam industri perjalanan, acara seperti ini adalah satu platform yang baik untuk berkumpul bersama rakan kongsi perjalanan kami dalam merayakan Hari Raya, dan juga memberi peluang kepada semua untuk berinteraksi dan berkongsi pandangan terkini mengenai industri pelancongan,” kata Awang Abdul Halim.

    “Acara ini memberi kami peluang yang baik untuk membina hubungan dengan rakan kongsi kami dan juga dengan mereka yang terlibat dalam industri pelancongan di Malaysia.

    Saya dan pasukan saya benar-benar menikmati Rumah Terbuka Hari Raya Sabre ini, dan kami meninggalkan majlis ini dengan semangat yang tinggi dan jaringan perhubungan baharu yang terjalin,” kata Pengarah Urusan Al Hijrah Travel and Tours Sdn Bhd, Haji Shamsul Baharin bin Haji Abdul Rahman.

    Awang Abdul Halim bergambar ramai bersama pegawai dan kakitangan Sabre Brunei serta tetamu yang hadir pada majlis tersebut.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...