Thursday, May 9, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    Hilang dua kaki, Tareq terus bantu rakyat Syria

    JARABULUS, SYRIA – Pada suatu malam, dua tahun lepas di sini, Tareq Ahmad tidak menyedari beliau menjadi sasaran musuh.

    Ketika beliau keluar untuk menjalankan projek bantuan makanan buat pelarian, dalam lingkungan cuma 20 meter dari rumahnya, di mana beliau tinggal bersama isteri dan empat orang anaknya, kereta yang dipandunya meletup dek bom.

    Namun, pengalaman ngeri itu hanya menguatkan lagi semangat dan tekadnya untuk berkhidmat kepada masyarakat setempat dan meskipun kehilangan kedua-dua belah kakinya dalam insiden itu, Tareq tetap meneruskan kerja-kerja kemanusiaan yang telah dilakukannya sejak sembilan tahun lepas.

    Beliau yang merupakan Pengurus Pejabat Yayasan ATAA di sini, percaya dirinya menjadi sasaran kerana mempunyai hubungan rapat dengan komuniti setempat di situ, ekoran kerja-kerja kemanusiaannya sedikit sebanyak mewujudkan kestabilan dalam komuniti terutama dalam kalangan pelarian dalam negara (IDP).

    “Insiden itu berlaku pada waktu malam sekitar 10 malam dan saya tak boleh nampak apa-apa. Bom tersebut ialah jenis C4 dan ia diletakkan di bawah kereta saya. Alhamdulillah, saya masih hidup.

    Tareq Ahmad semasa bermesyuarat bersama delegasi misi kemanusiaan di pejabatnya. – Bernama

    “Tidak lama selepas itu, saya pengsan. Saya terjaga di hospital empat jam selepas itu,” katanya dalam Bahasa Arab yang diterjemahkan oleh Pengarah Program Yayasan ATAA Abdul Aziz Mansour ketika ditemui di pejabat ATAA di sini, Jumaat.

    Walaupun telah hilang kedua-dua belah kakinya, beliau tidak berputus asa dan keberanian serta ketabahannya menjadi inspirasi kepada orang lain.

    “Alhamdulillah, saya reda dengan nasib saya. Semuanya akan baik-baik sahaja,” kata Tareq yang kemudiannya menghabiskan masa selama enam bulan di hospital di sini dan juga di Turkiye untuk rehabilitasi dan pemulihan, khususnya dalam latihan penggunaan kaki dan lutut palsu prostetik.

    Apabila ditanya apakah yang merangsangnya untuk terus bekerja dengan yayasan tersebut selepas mengalami pengalaman pahit itu, menurut Tareq hatinya berasa lega dan puas setiap kali berada di lapangan membantu rakyat.

    “Saya akan bersama ATAA dan saya akan teruskan kerja saya, membantu penduduk di dalam Syria,” katanya.

    Kejadian yang menimpa Tareq kemudiannya memberi inspirasi kepada Yayasan ATAA untuk membuka sebuah pusat rehabilitasi di A’zaz.

    Bandar raya yang dahulunya mempunyai kira-kira 40,000 populasi, telah menjadi pilihan rakyat Syria dari pelbagai tempat untuk didiami memandangkan ia berhampiran Turkiye dan kini di bawah pentadbiran Turkiye.

    Yayasan ATAA adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan merupakan rakan strategik Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) di Syria yang membantu dalam melaksanakan pelbagai program.

    Ketika ini Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Dr Mohd Zin Kandar sedang mengetuai misi kemanusiaan ke Syria bersama Econsave Cash dan Carry Supermarket yang diwakili Pengurus Besarnya, Mas Imran Adam serta lima pengamal media.

    Misi kemanusiaan itu yang memasuki hari kelima hari ini akan memasuki Al-Bab, sebuah kota di timur laut Syria.

    Al-Bab terletak 134.5 kilometer dan dua jam perjalanan menaiki kereta daripada Gaziantep, Turkiye. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bangkai tikus dalam roti, lebih 100,000 ditarik balik di Jepun

    TOKYO, 8 MEI - Lebih 100,000 peket roti telah ditarik balik di Jepun selepas bahagian bangkai tikus hitam ditemui di dalamnya, kata pengilang hari...