Sunday, May 19, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Hubungan M’sia-Indonesia di tahap membanggakan – Anwar

    PUTRAJAYA, 8 JUN – Hubungan dua hala Malaysia-Indonesia kini berada di tahap yang sangat membanggakan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Anwar berkata keadaan yang terhasil melalui hubungan akrab umpama satu keluarga antara beliau dan Presiden Indonesia Joko Widodo serta para pegawai kerajaan telah menyaksikan beberapa isu berlarutan sekian lama berjaya diselesaikan, antaranya isu sempadan maritim dua negara di Laut Sulawesi.

    “Peningkatan kerjasama dan persefahaman dalam masa yang singkat dengan Indonesia ini adalah luar biasa dan pastinya akan memberi banyak faedah dan manfaat buat rakyat dan negara.

    “Hubungan sangat akrab ini memudahkan kita dalam banyak urusan saya serta Presiden (Jokowi) amat berbangga kerana melaluinya kita dapat selesaikan satu isu yang telah kita runding selama puluhan tahun,” kata beliau pada sidang media bersama Joko Widodo selepas sesi pertemuan empat mata di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.

    Perdana Menteri berkata enam instrumen dua hala berkaitan ekonomi, perdagangan, sempadan dan maritim yang ditandatangani hari ini membuktikan perkara yang sukar diputuskan sebelum ini boleh diselesaikan melalui hubungan ‘kekeluargaan’ kedua-dua buah negara.

    “Kalau kita teliti beberapa perjanjian hari ini termasuk bidang kerjasama antara PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan Polis Indonesia serta antara Menteri Pertahanan kedua-dua negara yang tidak tercatat dalam senarai perjanjian persefahaman, Presiden (Jokowi) beritahu saya ada antaranya telah dirunding puluhan tahun tetapi tidak mampu diselesaikan,” kata beliau.

    Selain itu, Anwar memberi jaminan kerjasama dalam menangani isu jerebu rentas sempadan dan peningkatan kerjasama dalam bidang kebudayaan, pendidikan, kegiatan dakwah yang sederhana serta pemahaman Islam juga akan diteruskan. – Bernama

    Presiden Jokowi semasa bercakap bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa melawat ke pasar tempatan di Kuala Lumpur, Malaysia pada 8 Jun. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...