Monday, May 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Hutan yang sihat bawa pelbagai manfaat

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Perhutanan telah mengambil inisiatif dalam memelihara taman-taman rekreasi hutan di negara ini untuk menggalakkan aktiviti riadah kepada masyarakat.

    Usaha ini melibatkan penyediaan kemudahan asas di kawasan taman rekreasi hutan seperti pondok-pondok rehat, laluan pejalan kaki, papan-papan tanda maklumat, tempat letak kereta dan tandas awam.

    Tujuan usaha ini adalah untuk mendorong masyarakat untuk membudayakan gaya hidup sihat melalui aktiviti riadah di taman rekreasi hutan di samping dapat menghargai keindahan dan kepelbagaian alam semula jadi.

    Perkara tersebut antara yang disampaikan dalam perutusan Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin bersempena Hari Hutan Antarabangsa 2023 yang membawa tema Hutan dan Kesihatan.

    Hutan di seluruh dunia terdedah kepada pelbagai ancaman, seperti penebangan hutan, perubahan iklim, dan pembalakan haram, yang boleh memberikan kesan negatif kepada alam sekitar.

    Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), kadar penebangan hutan di seluruh dunia adalah dianggarkan sekitar 10 juta hektar setahun di antara tahun 2015 dan 2020.

    “Selaku agensi peneraju bagi Strategi 2 (Liputan Hutan) di bawah Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam, kementerian ini melalui Jabatan Perhutanan akan terus komited dalam memelihara dan memulihara hutan di negara ini termasuk dengan mengadakan program-program penanaman di sepanjang tahun dan melaksanakan pengurusan hutan yang mampan.

    “Adalah diharapkan bahawa agensi-agensi yang lain, termasuk syarikat-syarikat swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai akan sama-sama memainkan peranan masing-masing, khususnya dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti penanaman pokok, ke arah mendukung perlaksanaan dasar tersebut bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan,” tambahnya.

    Menurut Yang Berhormat Dato, hutan yang sihat mampu memberi manfaat kepada kesejahteraan dan kesihatan masyarakat. Ini selaras dengan Wawasan Brunei 2035 yang antara lain menitikberatkan persekitaran yang bersih dan hijau.

    Selain itu, hutan yang sihat juga mampu memberi pelbagai manfaat ekonomi, seperti kayu dan hasil hutan yang dapat dimanfaatkan secara mampan, serta potensi untuk mengembangkan ekopelancongan.

    Oleh itu, Yang Berhormat Dato menyeru orang ramai untuk sama-sama melindungi dan memulihara hutan, supaya warisan alam ini akan terus kekal untuk generasi masa depan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Helikopter presiden Iran ‘kemalangan’

    TEHRAN, 19 MEI - Sebuah helikopter yang membawa konvoi Presiden Iran, Ebrahim Raisi terlibat dalam ‘kemalangan’ hari ini, lapor media negara itu, tanpa menyatakan...