Sunday, May 19, 2024
23.4 C
Brunei

    -

    ICC sambung siasatan perang dadah Filipina

    THE HAGUE, 18 JULAI – Hakim Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) hari ini memberikan kebenaran kepada ketua pendakwarayanya untuk meneruskan satu siasatan baharu kempen antidadah ganas Manila, menolak rayuan oleh Filipina untuk menggugurkan tindakan itu.

    Bekas presiden Filipina, Rodrigo Duterte yang memulakan perang dadah tersebut, mengeluarkan Filipina daripada ICC pada 2019, setahun selepas tribunal berpusat di Hague itu memulakan siasatan awal ke atas kempen yang membunuh ribuan orang.

    ICC melancarkan satu siasatan rasmi pada September 2021, namun menggantungnya dua bulan kemudian selepas Manila mengatakan ia sedang menyemak semula ratusan kes dalam operasi dadah yang mengakibatkan kematian di tangan polis, orang upahan dan pasukan keselamatan.

    Ketua pendakwaraya ICC, Karim Khan kemudian diminta untuk membuka semula siasatan pada Jun 2022 dan hakim-hakim pra perbicaraan di mahkamah itu memberikan kebenaran pada lewat Januari, yang keputusannya dirayu oleh Manila sejurus selepas itu.

    Hakim di perbicaraan ibu pejabat mahkamah itu hari ini ‘mengesahkan dengan majoriti satu keputusan memberikan kebenaran kepada pendakwa raya ICC untuk menyambung semula siasatan berhubung situasi di Filipina’.

    Lima hakim yang bersidang menolak bantahan Manila bahawa mahkamah tiada kuasa undang-undang kerana Filipina telah menarik diri daripada ICC pada 2019, kira-kira tiga tahun sebelum siasatan disambung semula.

    Timbalan Pengarah Asia di Human Rights Watch, Bryony Lau mengatakan bahawa keputusan hari ini menandakan ‘satu langkah ke arah keadilan seterusnya’ bagi mangsa dan keluarga mereka. – AFP

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...